Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: DAP dinasihatkan untuk tidak meremehkan prosedur pemilihan
semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 12 November ini, kata
bekas ahlinya Rahmad Ishak.
Beliau yang merupakan Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP) turut
mengucapkan selamat maju jaya kepada parti berkenaan dan tidak
mengulangi kesilapan lalu, pada pemilihan kali ini.
"Harap mereka tidak meremehkan prosedur pemilihan semula untuk kali ketiga pada 12 November ini.
"Kita cuma nak mengucapkan selamat maju jaya, semoga semua
syarat-syarat yang diberikan sebanyak 10 syarat itu dipatuhi, dan jangan
ada perasaan tidak puas hati, protes dan sebagainya.
"Kita juga harap selepas ini tiada kes yang akan dibawa kemuka
pengadilan di antara DAP dan juga RoS," katanya ketila dihubungi
Antarapos.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesanggupan DAP semalam untuk
mengadakan semula pemilihan CEC seperti yang diarahkan Jabatan Pendaftar
Pertubuhan (RoS).
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan pemilihan semula itu
dilakukan pada 12 November ini bertempat di Ideal Covention Centre, Shah
Alam.
Dalam pada itu, mengulas lanjut Rahmad juga mengingatkan agar tidak ada
mana-mana pihak menggunakan taktik kotor pada pemilihan kali ini.
Malah katanya, proses yang telus dan adil perlu dilaksanakan parti itu
bagi memastikan masalah yang sama tidak akan berulang lagi pada masa
akan datang.
"Kita harap benda ini berjalan secara telus dan adil.
"Kita juga harap tidak ada unsur-unsur negatif, seumpamanya dan unsur
melibatkan ahli hantu wujud pada pemilihan kali ini," ujarya.
Untuk rekod pada 7 Julai lalu, RoS meminta DAP mengadakan pemilihan
semula CEC ekoran pelantikan ahli CEC dan pemegang jawatan utama DAP
pada 29 September 2013 dianggap tidak sah dari segi undang-undang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, pemilihan
semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang
berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember
2012, yang melibatkan seramai 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.
Mohamad Razin berkata pemilihan semula CEC yang baru adalah perlu bagi
memilih 20 orang anggota yang sah berpandukan kepada Akta Pertubuhan
1966 dan Perlembagaan Parti DAP untuk membolehkan pemilihan itu
diiktiraf RoS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan