Rabu, 4 Oktober 2017

Bekas ahli PPBM nafi ditawar wang keluar parti

 
Kamarulazman gesa polis menyiasat dakwaan Syed Saddiq di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah.


Kamarul-Azman_-Syed-Saddiq_600new


KUALA LUMPUR: Bekas ahli majlis tertinggi PPBM Kamarulazman Habibur Rahman hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengatakan bekas pemimpin yang meninggalkan parti itu ada ditawarkan wang.

Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi petang tadi, Kamarulazman berkata tuduhan ketua Pemuda PPBM itu menjatuhkan maruah dan mencemar namanya.

“Saya tidak pernah menerima panggilan dari Jabatan Perdana Menteri untuk meminta saya keluar PPBM dan memberi saya wang,” katanya, dan menambah beliau menggesa polis menyiasat dakwaan itu di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah.

“Secara jujur, saya mempunyai hubungan yang rapat dengannya walaupun saya telah meninggalkan parti. Saya sangat terkejut apabila saya tahu nama saya telah disebutkan, bagaimana dia boleh mengatakan ini kepada negara tanpa menunjukkan bukti.”

Kelmarin, Syed Saddiq pada satu sidang media mendakwa ada “tangan ghaib” cuba merasuah beliau untuk keluar parti dan tawaran sama turut ditawarkan kepada pemimpin lain yang sudah meninggalkan parti itu.

Beliau mendakwa wang itu ditawarkan dengan syarat beliau menyerang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menter besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kamarulazman memberi tempoh 7 hari kepada Syed Saddiq untuk membuktikan dakwaan itu atau berdepan tindakan undang-undang.

Mengulas lanjut, Kamarulazman berkata memandang serius kenyataan Syed Saddiq itu dan membuat laporan polis bagi melindungi diri dan keluarganya daripada fitnah yang dibuat.

Beliau juga menggesa polis untuk menyiasat dakwaan Syed Saddiq itu di bawah Seksyen 499 kanun keseksaan dengan melakukan fitnah.

Pada 19 April lalu, Kamarulazman mengumumkan peletakkan jawatan dan keahlian dalam PPBM. Beliau merupakan salah seorang daripada 7 pengasas PPBM, dan antara terawal memimpin Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), iaitu kumpulan penentang presiden dalam Umno.

Dengan pengumuman itu, Kamarulazman berkata PPBM sudah menyimpang dari perjuangan asal, kerana nampaknya misi utama parti kini hanya untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan mendapatkan kedudukan untuk rakan-rakan.

Sementara itu, Syed Saddiq dalam respon terhadap laporan polis itu menggesa agar Kamarul tidak terus menafikan isu tawaran berkenaan.

“Dia sendiri cakap dalam ucapan-ucapan yang dia lakukan, bahkan turut memberitahu kepada pemimpin-pemimpin tertinggi parti bahawa dia ada ditawarkan sejumlah wang.

“Saya rasa dia sendiri tahu yang dia nyatakan menerima banyak tawaran. Namun saya tidak tahu sama ada dia menerimanya atau tidak, jelas saya sudah nyatakan dalam sidang media saya sebelum ini,” katanya.

Beliau turut mencabar Kamarul dan beberapa bekas pengasas PPBM agar mengambil tindakan undang-undang, bukannya lakukan laporan polis.

“Saya hairan, kenapa bekas-bekas pemimpin keluar parti yang bangkit menafikan isu ini tetapi bukannya pihak yang menawarkan wang itu, sedangkan saya sendiri sudah nyatakan dengan jelas siapakah beliau.

“Individu yang dekat dengan ‘Putrajaya’ itulah yang sepatutnya buat laporan polis, bukannya bekas pemimpin parti ini,” katanya.

Tiada ulasan: