PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam serangan
ganas di London Bridge dan Borough Market, yang menyebabkan 6 maut dan
sekurang-kurangnya 20 cedera, termasuk seorang anggota polis.
Ketika mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini,
Kementerian Luar berkata, pihaknya sedang melakukan pemantauan rapi
mengenai perkara itu dengan pihak berkuasa tempatan.
Ia juga menasihatkan rakyat Malaysia yang tinggal di sekitar kawasan
terjejas supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa
tempatan.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London berhubung rapat dengan pihak
berkuasa tempatan dan memaklumkan perkembangan terkini kejadian itu
kepada masyarakat Malaysia yang tinggal di bandar raya berkenaan,” kata
kenyataan itu.
Kementerian itu berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan
kecemasan atau maklumat lanjut boleh menghubungi suruhanjaya itu melalui
talian +44 (0) 207 242 4308 atau emel di alamat
mwlondon.kln@1govuc.gov.my.
Kementerian Luar turut menyuarakan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Ini serangan ke-2 di London selepas 1 serangan berlaku di luar bangunan Parlimen Britain pada Mac tahun ini.
Menurut laporan, dalam kejadian semalam, sebuah van merempuh pejalan
kaki, manakala pengunjung bar dan restoran ditikam dengan pisau.
Pegawai polis terserempak dengan 3 suspek lelaki dan menembak mati mereka di Borough Market.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan