PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan
memantau kehadiran akaun-akaun media sosial palsu serta menyiasat dan
mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya, kata Menteri
Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Sejak
kebelakangan ini, katanya, didapati terdapat banyak akaun media sosial
palsu seperti Facebook, Twitter yang diwujudkan untuk menyebar pelbagai
kandungan palsu dan jelik yang boleh memberi kesan buruk terhadap
sosial, ekonomi dan keselamatan negara.
Beliau mengingatkan bahawa adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen
233, Akta Komunikasi & Multimedia 1998 untuk membuat atau mewujudkan
kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik.
"Umum sedia maklum bahawa akaun palsu seperti ini digunakan oleh mereka
yang berniat jahat dan bertujuan untuk menyebarkan berita palsu, fitnah
serta hasutan yang merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang
negara," katanya kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat Kabinet di
sini pada Rabu.
Salleh berkata isu itu tidak terpencil kepada Malaysia sahaja.
Malah, katanya, Facebook baru-baru ini dilaporkan telah mengambil
tindakan ke atas 30,000 akaun Facebook palsu di Perancis dalam usahanya
untuk mengekang gejala berita palsu sewaktu pilihan raya presiden negara
itu.
"Selain tindakan penguatkuasaan, kerjasama dengan pihak pemberi
perkhidmatan seperti Facebook akan terus dipohon oleh pihak MCMC untuk
memadam akaun-akaun palsu ini," kata Salleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan