JOHOR BAHRU: Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abd Samad akan menulis
sendiri surat kepada Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV),
Tan Sri Isa Abdul Samad bagi memberi cadangan tiga nama sebagai wakil
dalam anak syarikat itu.
Surat berkenaan akan dihantar pada Isnin ini, selepas permintaan untuk
melantik wakil-wakil dari FELDA yang dihantar sebelum ini tidak mendapat
sebarang jawapan.
"Pada 23 Mei lalu, mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA memutuskan dan
melantik tiga nama bagi mewakili FELDA di Lembaga Pengarah FGV iaitu dua
orang daripada pengurusan dan seorang lagi dari Lembaga Pengarah FELDA.
"Pada 26 Mei, satu surat (memutuskan bagi melantik tiga wakil dalam
FGV) dikeluarkan urus setia Lembaga Pengarah FELDA dan dihantar kepada
setiausaha syarikat.
"Namun sehingga kini, tiada jawapan daripada FGV, jadi saya sendiri
akan menulis surat dan hantar kepada Pengerusi FGV, Isnin ini," katanya.
Kemelut pengurusan FGV meruncing selepas empat pengurusan kanan
syarikat itu dan anak syarikatnya termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya,
Datuk Zakaria Arshad dipaksa bercuti, Selasa lalu.
Tiga lagi adalah Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha;
Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua
Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.
Menjelaskan lanjut Shahir meminta tindakan drastik segera diambil untuk
menstabilkan semula FGV sekaligus mengembalikan semula keyakinan rakyat
dan pelabur.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) melihat serius perkara ini
dan tindakan melantik Datuk Seri Idris Jala sebagai orang tengah adalah
langkah bagus.
"Kemelut FGV perlu betul-betul diselesaikan, bukan soal siapa menang
kerana jika kemelut FGV tidak selesai, FELDA juga akan terkesan dan
pembayaran dividen kepada peneroka juga boleh terkesan.
"Tiada kemelut tidak boleh diselesaikan dan saya yakin ia boleh kembalikan keyakinan masyarakat terhadap FGV," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan