Khamis, 22 Jun 2017

PAS setuju RCI ditubuhkan

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KOTA BHARU: PAS mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1980-an dan 1990-an.
 
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebagai sebuah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab, kerajaan Persekutuan wajar mewujudkan apa sahaja jawatankuasa yang boleh membuat penyiasatan terperinci secara adil.
 
“Saya fikir rakyat memang mahu melihat perkara ini disiasat dan diselesaikan secara adil.
 
“Oleh sebab itu kita mengalu-alukan keputusan mewujudkan RCI ini bagi membolehkan satu siasatan adil dilakukan,” katanya.
 
Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Raya Kepada Imam-Imam Negeri Kelantan di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), di sini hari ini.
 
Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam, Kabinet sebulat suara bersetuju dengan syor Pasukan Petugas Khas (PPK) bahawa terdapat keperluan RCI diwujudkan bagi menyiasat krisis yang melanda BNM lebih 25 tahun lalu.
 
PPK yang ditubuhkan bagi menyiasat kerugian dialami BNM mendapati terdapat elemen menyembunyikan fakta sebenar kerugian dengan mengemukakan maklumat bertujuan mengelirukan Jemaah Menteri dan Parlimen.
 
 

Tiada ulasan: