Sabtu, 3 Jun 2017

Nurul gesa rakyat daftar mengundi lawan ‘keajaiban’ SPR

KEADILAN DAILY


SHAH ALAM : Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menggesa orang ramai agar terus mendaftar sebagai pengundi baru untuk melawan tindakan meragukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Seruan tersebut dibuat Ahli Parlimen Lembah Pantai itu selepas hadir ke pejabat SPR Selangor untuk membantah pertambahan jumlah pengundi yang meragukan, pagi ini.

“Hari ini, saya memakai riben hitam untuk berkabung atas kematian SPR yang adil dan bebas.

“Mungkin, demokrasi itu sendiri masih hidup, jika setiap warganegara mendaftar sebagai pengundi, jika yang lain saling membantu untuk mengesahkan maklumat pengundi, dan jika kita membantah setiap tindakan SPR yang tidak berperlembagaan,” katanya memetik kenyataan di laman Facebook beliau.

Terdahulu, Nurul bersama beberapa pemimpin Pakatan Harapan hadir ke pejabat SPR di Shah Alam untuk membantah pertambahan pengundi yang meragukan itu.

Mereka menggesa SPR untuk menjelaskan kehadiran lebih 28,000 nama dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) suku tahun pertama 2017 di seluruh negara.

Anggota Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, berkata SPR wajar menjelaskan perkara tersebut.
“Seolah-olah SPR guna jalan belakang membawa masuk pengundi (ke kawasan tertentu).

“Mereka tak buat kenyataan rasmi mengenai pertambahan pengundi. Biasanya SPR akan buat kenyataan media dan letak senarai semua nama untuk dipamerkan.

“Tapi ini hanya diletakkan di sini (pejabat SPR Selangor),” katanya kepada media di Shah Alam, lapor Malaysiakini.

Ong mendakwa sebanyak 28,416 nama anggota tentera dan keluarga mereka – termasuk 7,600 di Kuala Lumpur – ditambah pada daftar itu melalui proses tuntutan yang disediakan SPR.

Bagaimanapun, kata Ong, peruntukan itu mengelirukan serta mencurigakan kerana jumlahnya yang terlalu tinggi.

“Lebih ajaib lagi, semua tuntutan ini dibuat di pejabat SPR Putrajaya,” katanya.

Biasanya, kata Ong, SPR tidak mempamerkan nama yang terlibat dalam tuntutan itu kerana jumlah kesilapan atau nama yang tercicir adalah kecil.

Selain itu Ong juga membangkitkan isu penyingkiran lebih 8,000 pengundi dari RDPT suku pertama itu melalui proses bantahan.

Katanya, 88 peratus daripada mereka adalah dari Selangor dan 99 peratus yang terlibat adalah pengundi Cina.

“Sehubungan itu, selain menuntut amalan pemberian salinan digital RDPT dikembalikan seperti sebelum ini, kami mahu SPR membuktikan bahawa tanggapan kami bahawa semua angka yang meragukan ini adalah penipuan dan keajaiban adalah salah,” katanya.

Tiada ulasan: