Jumaat, 2 Jun 2017

Mahkamah tangguh lagi kes saman fitnah Anwar ke atas KJ

Kow Gah Chie




Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan buat kali ketiga perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta yang dikemukakan oleh pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Ini adalah selepas mahkamah diberitahu bahawa peguam Khairy, Tan Sri Muhammed Shafee Abdullah tidak sihat, juga untuk kali ketiga.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan kemudiannya menetapkan perbicaraan seterusnya pada 7 Ogos, dua bulan selepas cuti sakit Shafee berakhir pada 7 Jun.

Semasa memutuskan bahawa ini adalah penangguhan terakhir, Azizul Azmi berkata, jika Shafee tidak dapat menghadiri prosiding pada 7 Ogos, peguam lain perlu dilantik mewakili Khairy.

Pada 17 April lalu, mahkamah memerintahkan Khairy membayar RM3,000 sebagai kos kepada Anwar kerana Shafee gagal mematuhi arahan mahkamah berhubung memfailkan penghujahan bertulis untuk memasukkan pembelaan tambahan "ulasan saksama" mengikut masa yang ditetapkan.

Pembantunya memaklumkan bahawa Shafee terpaksa mengambil cuti sakit kerana kecederaan ‘hamstring’ dan tidak dapat menghadiri prosiding itu.

Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan kepada 19 Mei.

Shafee, yang hadir di mahkamah pada 19 Mei, kemudian memberitahu, bahawa beliau tidak sihat dan mahkamah sekali lagi menangguhkan perbicaraan.

Tiada ulasan: