KOTA BHARU: Speaker Kelantan mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Nenggiri di Gua Musang, kosong selepas penyandangnya,
Datuk Mat Yusoff Ab Ghani, disahkan muflis.
Datuk Abdullah Ya'kub berkata, pihaknya menerima surat daripada Jabatan
Insolvensi Malaysia Cawangan Selangor pada 28 Mei lalu, memaklumkan Mat
Yusoff yang juga wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Nenggiri sejak
2013, disahkan muflis.
"Sebelum ini penasihat undang-undang Negeri Kelantan juga menerima
surat sama pada 21 Mei 2017 yang memaklumkan kebangkrapan Mat Yusoff
yang juga ADUN Nenggiri (N43).
"Mengikut Perkara 3 (1) Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri
Kelantan menyatakan seseorang itu tidak layak menjadi ADUN jika muflis
yang belum diselesaikan lagi.
"Dengan ini saya sebagai Speaker Kelantan mengisytiharkan Mat Yusoff
tidak layak menjadi ADUN akibat muflis," katanya dalam sidang media di
pejabatnya, di sini, hari ini.
Abdullah berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada pejabat
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan pada Ahad ini bagi memaklumkan
perkara itu.
Ketika ditanya sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan di kawasan itu, Abdullah berkata, ia terpulang pada SPR.
Sementara itu, Yusoff ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu manakala SPR Kelantan tidak menjawab panggilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan