Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Struktur kepimpinan Pakatan Harapan (PH) masih tidak dapat
didaftarkan dalam waktu terdekat memandangkan beberapa perkara penting
seperti barisan utama pimpinan masih lagi dalam perbincangan, kata
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Kita masih lagi berbincang diantara satu sama lain (dalam parti),
sebab kita hendakkan konsensus di antara empat aprti. Bila bertemu
konsensus kita akan daftar," katanya kepada pemberita dalam sidang
medianya hari ini.
PH sehingga kini gagal memuktamadkan barisan kepimpinannya, dikatakan
berpunca daripada beberapa cadangan yang berbeza dari setiap parti.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini didakwa mahu jawatan
utama gagasan itu, iaitu Pengerusi dan Presiden diberikan kepadanya.
Namun hal itu dikatakan tidak dipersetujui PKR, dengan mendakwa akan
berlaku penguasaan PPBM dalam gagasan pembangkang berkenaan.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menerusi kenyataan
terbarunya melahirkan kebimbangannya terhadap penguasaan PPBM ke dalam
PH, selain mahu jawatan pengerusi hanya bertindak sebagai penyelaras.
Dalam sidang media yang sama juga Wan Azizah ditanya calon perdana
menteri bagi PH selepas Anwar menolak dirinya dicalonkan ke jawatan itu.
"Terpulang kepada kitalah. Sesiapa yang mendapat majoriti akan menjadi
PM. Kita menang dahulu kemudian baru kita bercakap siapa yang akan
menjadi PM," ujarnya ringkas.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad ketika mengulas hal itu juga
berkata meskipun Anwar menolak cadangan itu, namun nama pemimpin
tersebut merupakan persetujuan bersama kesemua parti.
"Tujuan Anwar tarik diri supaya tidak ada perbincangan siapa yang akan
menjadi PM. Kita menang pun belum, dan sekarang hendak tumpu kepada PRU.
"Anwar tidak meletakkan dirinya sendiri. Yang menamakan beliau sebagai
calon adalah konsensus semua parti. Bila dah timbul isu beliau tarik
balik, namun apabila kita menang segalanya terpulang seperti apa yang
berlaku, siapa (parti) yang dapat kerusi lebih banyak itu terpulanglah,"
ujarnya.
Anwar pada Sabtu lalu membuat kejutan apabila mengumumkan beliau tidak
akan menawarkan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri jika PH menang
pada PRU14.
Anwar melalui kenyataan yang dikeluarkan menerusi PKR berkata, PH harus
memberikan perhatian kepada dasar negara, kepincangan sistem dan ke
arah kemenangan PRU14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan