Jumaat, 2 Jun 2017

Jumlah asnaf miskin meningkat kerana kos hidup

MALAYSIAKINI


Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini memaklumkan peningkatan kos sara hidup antara punca pertambahan jumlah asnaf fakir dan miskin di negeri itu.

Menurut mimbar, jumlah golongan asnaf fakir dan miskin di Selangor meningkat sebanyak 2,207 keluarga pada tahun 2016 menjadi 46,500 keluarga berbanding tahun sebelumnya.

"Peningkatan sebanyak 2,207 keluarga fakir miskin ini mendorong kepada peningkatan bantuan dan keutamaan pengagihan zakat kepada mereka berbanding asnaf-asnaf yang lain.

"Pertambahan jumlah asnaf fakir dan miskin di Selangor ini kerana beberapa faktor antaranya ialah peningkatan kos sara hidup yang membebankan dan berlakunya pemberhentian kakitangan secara beramai-ramai akibat daripada pihak majikan yang ingin menurunkan kos operasi," menurut teks khutbah.

Sementara itu, mimbar juga mengingatkan sidang Jumaat segera melunaskan kewajipan zakat fitrah demi beroleh ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT dan memberi kegembiraan kepada golongan fakir dan miskin.

Di samping itu, mimbar berkata sidang Jumaat juga harus memastikan segala harta yang diwajibkan zakat telah dizakatkan.

"Selain itu pastikan juga sumber pendapatan, perniagaan yang diusahakan, pengeluaran wang dari simpanan KWSP dan lain-lain juga telah selesai dizakatkan," kata mimbar dalam teks khutbah bertajuk “Zakat; Menyucikan Jiwa Menyuburkan Harta”.

Berdasarkan laporan kutipan dan agihan zakat fitrah Selangor, pada tahun 2016 sebanyak RM22.2 juta telah diperoleh daripada umat Islam yang menunaikan zakat fitrah.

Pada tahun yang sama, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mengagihkan sebanyak RM32 juta kepada 46,500 keluarga asnaf fakir dan miskin di negeri itu

LZS juga turut menyasarkan kutipan zakat RM700 juta pada tahun ini, untuk menampung agihan sebanyak RM670 juta.


Tiada ulasan: