Sabtu, 3 Jun 2017

Jangan bawa kereta masuk KL kalau parkir mahal

Shawaliah Hadir

Datuk Bandar Kuala Lumpur menyifatkan rungutan berkenaan kenaikan kadar parkir berbayar milik persendirian tidak wajar kerana pengguna diberi pilihan untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam

KUALA LUMPUR: Kalau kadar parking mahal jangan bawa kereta masuk ibu kota, demikian kata Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL), Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.

Beliau menyifatkan rungutan berkenaan kenaikan kadar parkir berbayar milik persendirian tidak wajar kerana pengguna diberi pilihan untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam.

“Kalau mahal janganlah parking situ naiklah LRT, monorail.

“Buat apa nak bawa kereta, naik LRT jangan bawa kereta lepas tu nanti merungut parking mahal,” katanya kata Berita Daily.

Beliau berkata demikian mengulas rungutan pengunjung-pengunjung kawasan ibu kota khususnya di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) yang terpaksa membayar kadar caj parkir yang meningkat dua kali ganda.

Mhd Amin turut memberikan contoh anak-anaknya yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke Kuala Lumpur kerana kesesakan yang tidak terkawal.

“Kalau datang KL, macam anak saya ke KL naik monorail, naik LRT sebab sesak KL sepanjang Ramadhan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau akan merujuk kepada pegawainya terlebih dahulu berkenaan dengan penetapan harga yang dilakukann oleh pemilik persendirian tempat meletak kereta di ibu kota.

“Sementara waktu saya tidak boleh komen kena rujuk macam mana mereka ini menetapkan harga dan kadar,” tambah beliau.

Tinjauan Berita Daily semalam mendapati pemilik-pemilik persendirian tempat meletakkan kereta di Jalan TAR naik dua kali ganda daripada RM7 kepada RM15 sehari bermula bulan Ramadhan ini.
Ada yang mengaku terkejut dengan harga itu tidak kurang juga ada yang merungut.

Tiada ulasan: