Jumaat, 2 Jun 2017

Harga ayam cecah RM10 sekilogram




Ainul Asniera Ahsan
Harga ayam di pasaran kini mencecah RM10 sekilogram. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peniaga-peniaga ayam mengaku harga ternakan itu kini melonjak ke paras tertinggi iaitu mencecah RM10 sekilogram manakala ayam kampung pula RM15.

Kenaikan harga ayam itu dikatakan pertama kali berlaku dalam tempoh lebih 10 tahun.

Azam, seorang peniaga ayam di Pasar Sungai Besi berkata, harga ayam telah meningkat sejak beberapa minggu sebelum Ramadan.

“Kenaikan daripada pemborong sedikit demi sedikit. Lebih kurang 30 sen setiap minggu dan kemuncaknya pada awal Ramadan,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, kenaikan harga ayam sebenarnya membimbangkan para peniaga kerana khuatir permintaan merudum.

Ini kerana, seekor ayam sederhana besar pun sudah mencecah hampir RM20 sekilogram dan saiz besar hampir RM30.

“Kalau hendak ikutkan permintaan ayam memang baik sejak kebelakangan ini kerana harga ikan naik. Tetapi kalau sudah sampai RM10 sekilogram, kami pun susah hati.

“Pelanggan pun bijak, kalau ikan naik mereka beli ayam. Kalau ayam naik mereka mungkin ada pilihan lain,” tambahnya.

Azam berkata, beliau sendiri mendapat harga daripada pembekal sebanyak RM7.80 sekilogram, lantaran itu sukar baginya untuk menurunkan harga ayam kecuali pembeli membeli dengan banyak.
Peniaga ayam, Azam


Sementara itu, Ani, seorang peniaga ayam di Pasar Borong Selangor mendakwa, kenaikan ayam bermula dari ladang mendorong peniaga-peniaga di pasar itu menawarkan sekilogram ayam sekitar RM8.
Harga sekilogram ayam yang dipaparkan di Pasar Sungai Besi.


Menurut Ani, kenaikan kerana penternak menghadapi kenaikan kos termasuk pertambahan harga makanan ayam.

“Ini pun pembekal tidak jamin harga semasa, mungkin naik lagi kecuali kerajaan segera melaksanakan kawalan harga,” ujarnya sambil mengakui pelanggan mengeluh dengan kenaikan itu.

Katanya, peniaga terpaksa menaikkan harga jika pemborong mengenakan harga tinggi.

“Kalau kerajaan mengenakan kawalan harga ayam sebelum Ramadan mungkin tidak jadi seperti ini,” katanya.

Mengikut harga terkini daging ayam yang dikeluarkan melalui laman sesawang Jabatan
Perkhidmatan Veterinar, harga runcit tertinggi ayam hidup setakat lima bulan pertama tahun ini ialah pada 26 Mei lalu iaitu RM9.50.

Pada tarikh itu, harga ayam hidup dari ladang ialah RM5.80 sekilogram dan harga borong RM8.50.

Sebelum ini, harga runcit tertinggi ialah RM9.10 pada bulan Februari lalu. Ketika itu, harga ladang RM5.50 manakala harga borong RM8.15. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: