Isnin, 5 Jun 2017

Anwar desak dakwaan Najib bayar Shafee disiasat

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam kanan yang mengetuai pihak pendakwaan dalam kes Fitnah 2, disiasat.

Ini selepas timbul dakwaan bahawa Shafee menerima RM9.5 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak melalui dua bayaran pada 11 September, 2013 dan 17 Februari, 2014.

“Dakwaan yang dibuat Sarawak Report bahawa dana berjumlah RM 9.5 juta dari syarikat SRC International disalur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dari akaun peribadi beliau ke dalam akaun peribadi peguam Umno Tan Sri Shafee Abdullah amatlah berat.

“Perkara ini perlu disiasat pihak berkuasa pada kadar segera.

“Apakah tujuan dana besar ini disalur oleh Najib kepada akaun peribadi seorang peguam swasta yang dilantik oleh kerajaan Najib untuk mengendalikan pendakwaan terhadap saya?” soal Anwar dalam kenyataannya.

Anwar turut mempersoalkan pihak-pihak lain yang turut menerima duit dari SRC International melalui akaun peribadi Najib.

Putrajaya, dalam satu keputusan yang mengejutkan pada 22 Julai 2013, melantik Shafee untuk mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Anwar di Mahkamah Rayuan dan bukannya berdasarkan amalan konvensional yang bergantung kepada khidmat pendakwa raya.

Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Anwar dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas beliau yang merupakan bekas timbalan perdana menteri.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb, 2015 mensabitkan Anwar dengan konspirasi fitnah meliwat bekas pembantunya.


Tiada ulasan: