Sabtu, 3 Jun 2017

Alam Flora bersih 2,500 tan sampah KL setiap hari


Alam Flora bersih 2,500 tan sampah KL setiap hari
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan bersama Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub bergambar bersama dengan anak-anak yatim dari Sekolah Rendah Kebangsaan Seksyen 16 & 19 selepas menyampaikan sumbangan hari raya pada majlis Berbuka Puasa Alam Flora bersama Kumpulan Media Karangkraf dan Sinar Harian 2017. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
 
 
SHAH ALAM – Setiap hari sebanyak 37,000 sampah dihasilkan di negara ini. Kebanyakan sampah itu juga adalah daripada bandar-bandar besar serta pusat-pusat bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, di Kuala Lumpur sahaja, sebanyak 2,500 tan sampah perlu dibersihkan bagi memastikan ibu negara Malaysia ini kekal bersih.

Menurutnya, terdapat peningkatan sampah setiap hari di Kuala Lumpur memandangkan semakin ramai yang berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Tugas kami setiap masa adalah memastikan kawasan-kawasan ini sentiasa bersih. Seawal jam 7.30 pagi, pekerja Alam Flora sudah mula bertugas untuk membersihkan kawasan-kawasan seliaan.

“Ia akan tamat pada sebelah petang pada waktu biasa. Namun setiap kali Ramadan, penambahan sisa pepejal bertambah 100 hingga 200 tan setiap hari.

“Ini bermakna, tugas kami bertambah di mana, alam Flora perlu memastikan kawasan bazar Ramadan juga sentiasa bersih,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama 30 anak-anak asnaf di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Beliau berkata, setiap kali menjelangnya Ramadan, pekerja akan ditambah dan jadual kerja pula ditambah satu shif lagi.

“Pekerja akan mula bekerja pada awal pagi dan habis pada jam 3 pagi esoknya. Ini memastikan kawasan bazar sentiasa bersih.

“Alam Flora juga menyediakan tong-tong sampah di setiap lokasi bazar bagi memudahkan peniaga mahupun pembeli membuang sisa makanan.

“Tahun ini, kami sediakan tong sampah di 90 lokasi bazar Ramadan. Jumlah lokasi ini meningkat berbanding tahun lalu,” katanya.

Katanya, tong-tong sampah bukan hanya diletakkan di kawasan bazar makanan tetapi juga di lokasi yang menjual pakaian.

Mohd Zain turut menyarankan peniaga supaya sentiasa membuang sampah di tempat yang disediakan bagi sama-sama menjaga kebersihan.

“Kebiasaannya, Alam Flora akan meletakkan tong sampah berdekatan kawasan jualan mereka. Selain itu, pengguna juga perlu sama-sama bertoleransi dengan tidak membuang sampah merata-rata.

“Jika semua pihak sama-sama memberikan kerjasama, sudah pasti kawasan sekitar mereka bersih.

Jelasnya, Alam Flora yang bekerjasama rapat dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sentiasa mengadakan kempen kesedaran kepada orang awam agar menjaga kebersihan.

“Kempen sebegini kami lakukan secara berterusan dan mengikut jadua, selepas ini sesi berikutnya akan diadakan di Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, Alam Flora hari ini meraikan 30 anak-anak asnaf serta kakitangan kumpulan Media Karangkraf dan Sinar Harian dalam majlis berbuka puasa.

“Sudah empat tahun jalinan erat antara Alam Flora dan Karangkraf. Cuma tahun ini lebih istimewa apabila kita meraikan anak-anak asnaf,” katanya.

Tiada ulasan: