Rabu, 14 Disember 2016

Rayuan gagal, keluarga Anwar salahkan sistem kehakiman

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Pembangkang terus menyalahkan sistem kehakiman negara ekoran kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenepikan sabitan dan hukuman kes liwat yang dihadapinya.
 
Isteri Anwar yang juga merupakan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu memangsakan Ketua Umum PKR dan akhirnya terus meringkuk di penjara.
 
"Sistem kehakiman yang saya sanjung dan mengharapkan dapat membela sesiapa yang ditindas dan dianiaya, (namun) inilah (nasib) sistem yang kita harapkan.
 
"Apakah saya tak boleh berharap lagi. Ini yang membuatkan saya tidak punya rasa untuk lagi bercakap," katanya ketika berucap di hadapan penyokong Anwar di perkarangan Istana Kehakiman, tengah hari tadi. 
 
Reaksi itu menyusul selepas Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak permohonan semakan Anwar untuk mengenepikan sabitan dan hukuman kes liwat yang dihadapinya.
 
Dalam prosiding yang bermula pada jam 10.19 minit pagi tadi, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan semakan berkenaan mengikut aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 tidak mempunyai sebarang merit.
 
Mahkamah turut memutuskan tidak berlaku ketidakadilan dalam perbicaraan kes liwat itu berdasarkan integriti sampel, penyalahgunaan proses mahkamah dan dakwaan konspirasi dalam pertuduhan ke atasnya.
 
Dengan keputusan itu, Anwar yang sudah menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selama setahun 10 bulan perlu menghabiskan baki hukuman penjara lima tahun yang diperintahkan ke atasnya.
 
Sementara itu, anak Anwar, Nurul Izzah berkata kekalahan bapanya dalam permohonan semakan itu sebagai permulaan baru untuk rakyat melawan sistem pentadbiran negara yang didakwanya sebagai korup.
 
"Saya hendak kita gunakan kekuatan dan semangat ini. Datuk Seri Najib Razak, ini bukan pengakhiran kami. Kita akan melawan kembali. Anda ingat boleh bebas di mahkamah dunia? Anda perlu membayar ini semua, kami tetap komited untuk lawan," tegasnya lagi.
 
Dalam sebutan keputusan peraturan penjara bersabit dengan kelakuan banduan bagaimanapun mungkin membolehkan Anwar dibebaskan pertengahan 2018.
 
Pasukan peguam Anwar juga dijangka menimbang kemungkinan mengemukakan rayuan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong baru, Sultan Muhammad V.
 
Turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
 
Anwar memohon semakan untuk mengenepikan sabitan dan hukuman lima tahun penjara terhadapnya atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
Selain itu, secara alternatif dia memohon Mahkamah Persekutuan mendengar semula rayuan itu berdasarkan kepada merit.
 
Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang mensabitkan Anwar dan memerintahkannya dipenjara lima tahun.
 
 

Tiada ulasan: