Isnin, 12 Disember 2016

PKR sokong pindaan halang tukar agama anak sebelah pihak

 
Baru Bian menggesa undang-undang negeri dipinda supaya mengikut pindaan pada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976


baru-bian


KUCHING: Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA) yang akan menghentikan penukaran agama anak secara sebelah pihak merupakan langkah yang baik, kata PKR Sarawak.

Pindaan untuk meminta Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan itu dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat bulan lepas. Pindaan itu, sekiranya diluluskan pada sidang Mac depan, mewajibkan persetujuan ibu dan bapa untuk menukar agama anak.

Pindaan itu menyatakan anak akan kekal dalam agama yang dianuti ibu bapa semasa mendaftar perkahwinan, dan boleh memilih agamanya apabila mencapai umur 18 tahun.

Persatuan Geraja-gereja Sarawak dalam satu kenyataan berkata undang-undang Sarawak perlu dipinda supaya selaras dengan perubahan pada perlembagaan.

“Saya menyokong sepenuhnya seruan oleh Persatuan Gereja-gereja agar kerajaan Sarawak meminda Ordinan Majlis Islam Sarawak mengikut pindaan LRA, dan menyelaraskan ia kepada jaminan perlembagaan yang menjadi hak setiap rakyat Malaysia,” kata Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dalam satu kenyataan hari ini.

Baru, yang merupakan Adun Ba’Kelalan berkata penukaran agama anak tanpa pengetahuan atau izin ibu dan bapa melanggar hak mereka di bawah konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang ditandatangani Malaysia.

“Penukaran agama seperti itu menyebabkan banyak keluarga menderita dan diharapkan pindaan itu akan menghalang kes daripada berulang di masa hadapan,” katanya.

Baru bagaimanapun berkata perundangan Sarawak berhubung penukaran agama masih samar.

Di Sarawak, Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 membolehkan seseorang yang belum mencecah umur 18 tahun menukar agama kepada Islam sekiranya ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya.

“Saya percaya peruntukan itu tidak menepati perlembagaan seperti yang saya jelaskan tadi, dan langkah dewan undangan negeri Perlis memperkenalkan peruntukan seperti itu merupakan tindakan yang tidak betul, tidak bijak dan terkebelakang,” katanya.

Khamis lepas, dewan legislatif Perlis meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang didakwa membolehkan agama anak ditukarkan dengan hanya izin salah seorang ibu bapanya.

Persatuan Peguam-peguam Muslim membantah sebarang pindaan kepada Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan atas alasan ia tidak menepati perlembagaan.

Mereka berhujah Mahkamah Persekutuan sebelum ini menafsir perkataan “ibu bapa”” dalam Perkara 12(4) itu sebagai ibu atau bapa atau penjaga, dan bukan ibu dan bapa.

Mengikut perkara sedia ada, ia menyatakan: “agama bagi seseorang yang berumur kurang dari lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.”

Tiada ulasan: