Oleh Azizul Osman
KUALA LUMPUR: 'Kerajaan Myanmar mahu saya buat apa? Tutup mata? Mahu
saya bisu? Saya tak akan tutup mata dan saya tak akan membisu,' itu
ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersabit kekejaman
kerajaaan Myanmar ke atas etnik minoriti Rohingya, di negara itu.
Najib sekali lagi menegaskan Malaysia tidak berniat untuk masuk campur
dalam urusan pentadbiran negara Myanmar, namun terpaksa bertindak
berpaksi kepada hak asasi dan nilai kemanusiaan terhadap warga Rohingya.
Kelmarin, kerajaan Myanmar memberi amaran kepada Najib agar tidak
menyertai Himpunan Solidariti Ummah bagi mengutuk tindakan mereka ke
atas warga Rohingya.
"Kita hendak beri isyarat kepada kerjaan Myanmar, kita (juga) mahu
beritahu Aung San Suu Kyi, cukuplah (lakukan kekejaman). Dua hari lalu
kenyataan dari kerajaan Myanmar kata kalau saya hadir dalam solidariti
ini, mereka anggap saya campurtangan. Dia gertak saya. Dia beri amaran
pada saya.
"Saya tidak peduli. Sebab saya hadir bukan atas tubuh badan saya. Saya
hadir bukan atas nama Najib Razak. Saya ke sini atas dasar ummat dan
rakyat Malaysia keseluruhannya," Ujar Najib ketika menyampaikan
ucapannya, yang disambut dengan sorakan ribuan peserta yang hadir.
Najib mengingatkan Myanmar agar kembali merujuk Piagam ASEAN yang
ditandatangani sebelum ini - bersabit elemen hak asasi kemanusiaan dan
bukannya hanya melihat bab campurtangan kononnya yang sedang dilakukan
Malaysia, buat masa ini.
"Dia (Myanmar) baca satu sahaja bab kita tidak boleh campurtangan dalam
urusan negara lain. Dia tidak baca bab lain dalam artikel (piagam
ASEAN). Dalam piagam itu ada disebut untuk tegakkan hak asasi manusia.
"Mereka itu buta ke? Janganlah tafsir sesuka hati. Apa yang dia mahu
kita buat? Kita dalam komuniti ASEAN. Tahun sudah kita isytihar apa?
Kita isytihat kita sebagai satu komuniti. Bila komuniti, jika ada
kezaliman, kekejaman, orang dibunuh, dibakar hidu-hidup, dirogol,
diusik, dipukul, dicabut nyawa, tak boleh bergerak, tak boleh kerja, tak
boleh kawin...bukankah ini penentangan hak asasi manusia?.
"Apa mereka hendak saya buat? Saya mewakili 31 juta rakyat negara ini.
Nak saya tutup mata? nak saya bisu? Saya tak akan tutup mata dan saya
tak akan bisu. Sebab mereka ini (warga Rohingya) mesti dibela. Mereka
bukan sahaja seakidah dengan kita. Mereka juga manusia, rakyat dan nyawa
mereka bernilai. Kita mesti berjuang habis-habisan," tegas Najib lagi.
Najib juga menyeru Presiden Indonesia, Joko Widodo agar turut sama
mengerah rakyatnya agar membantah kekejaman kerajaan Myanmar terhadap
Rohingya dan bukannya hanya mengadakan protes terhadap Ahok.
"Saya nak minta Presiden indonesia, Jokowi minta rakyat Indonesia
(adakan protes juga). Jangan protes Ahok sahaja. Rohingya mesti
diperjuang," ucap Najib penuh semangat.
Terdahulu, ratusan ribu rakyat Indonesia membanjiri ibu negara republik
itu bagi menyuarakan bantahan terhadap Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja
Purnama atau Ahok yang dikatakan menghina Islam.
Demonstrasi itu berakhir dengan seorang maut manakala tujuh lagi cedera akibat rempuhan.
Tanggungjawab membantah kekejaman ke atas Rohingya perlu digalas semua
pihak, tidak terkecuali mana-mana parti politik, ujar Najib.
"Sebab itu (hari ini) Umno dan PAS ada dalam himpunan ini. Terima kasih
Tok Guru Haji Hadi. Kita memang boleh berbeza pendapat, ideologi tapi
ini soal Islam, soal ummah, soal menegakkan makasid syariah. Ini wajib.
ini bukan politik," katanya.
Najib juga menyeru Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) agar bertindak
dan tidak hanya menjadi pemerhati dikala ada rakyat yang tidak berdaya
ditindas.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi
mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Keadilan
Antarabangsa (ICJ) perlu mengambil tindakan ke atas kerajaan Myanmar.
"Ini bukan soal campur tangan, ini soal kemanusiaan, soal kepedulian,
soal rasa universal yang tinggi Malaysia. Kita mahu PBB dan ICJ ambil
tindakan kepada pemimpin dan junta Myanmar.
"Ini bukan kali pertama dan terakhir, kita akan terus bangkit untuk pertahan nasib Rohingya keseluruhannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan