Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yakin Pakatan Harapan (PH)
akan memberikan kerusi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Bekas ahli PPBM itu berkata, keyakinannya bersandarkan kepada komitmen
Penasihat DAP Lim Kit Siang yang sanggup mengangkat Presiden PPBM Tan
Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri sekiranya
pembangkang berjaya membentu kerajaan di Putrajaya, kelak.
"Saya yakin perbincangan akan berjaya dan kalau kita tengok dalam
ucapan yang berhormat Lim Kit Siang baru-baru ni di Pulau Pinang (di
mana) menamakan Wan Azizah sebagai interim PM sekira PH menang dan Tan
Sri Muhyiddin sebagai interim timbalan perdana menteri.
"Jadi dari situ saya nampak sudah wujud satu kesepakatan dan keikhlasan
parti-parti politik daripada PH," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Beliau berkata demikian bagi mengulas reaksi berlainan yang daripada
PKR dan DAP bersabit kesediaan mereka dalam mengagihkan kerusi
masing-masing kepada parti itu.
PKR mengatakan bahawa parti itu terbuka untuk menyerahkan kerusi mereka
kepada PPBM kerana ia pernah dilakukan pada tahun 1999, di mana parti
itu mendapat kerusi daripada PAS dan DAP.
Namun DAP menyatakan perkara sebaliknya dan parti itu tidak mahu dikaitkan dengan keterbukaan PKR itu.
Justeru kata ADUN Batu Kawan itu lagi, adalah tidak adil untuk
mana-mana pihak membuat andaian terlali awal terhadap pembahagian kerusi
ini kerana dalam soal politik sememangnya memerlukan masa dan ruang
yang secukupnya.
"Masih terlalu awal untuk kita untuk nak buat andaian dan bercakap
mengenai pengagihan kerusi dan sebagainya. Sebagaimana yang semua tahu
pun PPBM baru saja tandatangan memorandum persefahaman dengan PH. Jadi
kita kena bagi masa dan ruang yang lebih kepada PPBM dan PH untuk duduk
semeja dan berunding.
"(Agih kerusi) ni tak boleh nak buat (dan) capai tergesa-gesa. Adalah
tidak adil jika kita nak capai segala-galanya dalam masa sekelip mata,
ini sukar kerana ia gerakan politik," ujar beliau.
PPBM sebelum ini mengikat perjanjian dengan PH untuk sekurang-kurangnya meletakkan satu calon pada pilihan raya akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan