Jumaat, 16 Disember 2016

Ahli PPBM Kedah "Indah Khabar Dari Rupa"

Sopha Sulaiman



ALOR SETAR - Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menyifatkan dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempunyai ahli dan penyokong yang ramai hanya sekadar " indah  khabar daripada rupa". 

Ketuanya, Datuk Shaiful  Hazizy Zainol Abidin berkata, Pemuda UMNO yakin berapa juga jumlah ahli PPBM di Kedah yang digembar-gembur parti itu hanya satu corak perang  psikologi.

Khamis lalu Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan keyakinan partinya akan menawan Kedah dan Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kerana 'semangat' yang ditunjukkan oleh rakyat.

Shaiful Hazizy dalam satu kenyatan akhbar hari ini mencabar PPBM menyatakan jumlah sebenar ahli parti baharu yang ditubuhkan kira-kira tiga bulan itu. 

Sementara itu, Shaiful Hazizy yang juga Exco Pemuda UMNO  menyifatkan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bukanlah seorang yang berani dan berprinsip apabila membuat tuduhan yang mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pernah menghantar surat peletakan jawatan sebelum dipujuk oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

"Dua persoalan timbul, pertama Mukhriz  bukanlah seorang yang berani dan berprinsip kerana menyatakan perkara itu di luar konteks masa dan tempat, " kata Shaful Hazizy.

Kata Ketua Pemuda Merbok itu, jika benar perkara itu berlaku, ia wajar disebut semasa beliau (Mukhriz) masih memegang jawatan Menteri Besar dan jawatan dalam UMNO bagi menunjukkan ada anggota Kabinet tidak bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

Mukhriz sekadar berani menyatakan perkara-perkara yang dikutip daripada "cakap-cakap kedai kopi" bagi mengelirukan penyokong PPBM sendiri kononnya dalaman UMNO sedang goyah, kata Shaiful Hazizy.

Menurut beliau, sikap dan strategi politik yang silap, kebudak-budakan ini tidak mencerminkan kepimpinan Mukhriz sebagai Timbalan Presiden PPBM, parti serpihan yang ditubuhkan bapanya sendiri. 

Sementara kenyataan yang dikeluarkan Mukhriz adalah sekadar reaksi rasa "sakit hati dan dendam" beliau terhadap serangan Khairy kepada Dr. Mahathir pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. 


Tiada ulasan: