PETALING JAYA: Polis akan memangil ketua gerakan Baju Merah, Datuk Seri
Jamal Yunus untuk merekodkan keterangan beliau selepas beberapa
penunjuk perasaan didakwa menyerang dua lelaki memakai kemeja-T Bersih
di Sabak Bernam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, polis sedang
berusaha untuk menghubungi Jamal, yang merupakan Ketua Umno Bahagian
Sungai Besar bagi mendapatkan keterangannya.
"Ya, sudah tentu kita akan memanggil beliau untuk mendapatkan
keterangan berhubung insiden tersebut," katanya ketika dihubungi pada
Isnin.
Beliau menambah, bagaimanapun setakat ini tiada penahanan baharu dibuat
kecuali tiga individu yang ditahan sebelum ini kerana merusuh dan
dibebaskan kemudian.
Sabtu lalu, sekumpulan penunjuk perasaan Baju Merah menerusi satu
rakaman video yang menjadi viral, dilihat melontar telur kepada
kedua-dua lelaki dengan salah seorang daripadanya ditendang dari arah
belakang.
Bagaimanapun, Jamal mempertahankan tindakan para pengikutnya.
"Saya berada di sana dan dua lelaki berkenaan melakukan provokasi
terhadap pengikut saya dengan cuba untuk merempuh menggunakan motosikal.
"Sebab itulah orang-orang saya bertindak sedemikian dan saya
mempertahankan tindakan mereka," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Jamal menambah, beliau percaya polis akan meneliti insiden berkenaan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya.
"Saya juga mengarahkan orang-orang saya supaya memberi kerjasama dengan pihak polis," katanya.
Bersih 2.0 melaksanakan program jelajah di seluruh negara berhubung
perhimpunan Bersih 5, bagaimanapun konvoi berkenaan cuba dihalang oleh
kumpulan Baju Merah di beberapa lokasi.
Himpunan Bersih 5 dijangka diadakan pada 19 November depan.
Kumpulan Baju Merah merancang untuk mengadakan himpunan pada waktu yang sama bagi berdepan dengan bantahan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan