Selasa, 11 Oktober 2016

Universiti Teluk Intan: Kita berhasil dapat tanah yang lebih besar, kata Mah

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerja-kerja asas bagi membina sebuah universiti di Teluk Intan sudah pun dimulakan awal tahun ini, kata ahli Parlimennya, Datuk Mah Siew Keong.
 
Ujar Mah, proses pembinaan universiti yang merupakan kampus cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu memakan masa kerana beliau berusaha untuk mendapatkan tanah yang lebih luas.    
 
"Macam projek universiti, bukan dalam masa dua tahun boleh habis (boleh siap). Apabila saya jadi ahli Parlimen dua tahun lepas, saya mahu bina universiti yang lebih besar. 
 
"Pada masa itu, jika kita mula, kita dapat tanah 20 ekar, itu bermakna universiti itu (akan dibina) tidak besar. Oleh sebab kita nak dapat universiti yang lebih besar, jadi kita cari tanah lain. 
 
"Akhirnya, kita dapat cari tanah sebesar 80 ekar. Bermakna walaupun kita lewat sikit tapi kita ada perancangan yang lebih besar. Itulah yang lebih penting," ujarnya kepada pemberita, pada Ahad.
 
Mah memberitahu lokasi tanah 80 ekar itu diambil alih oleh pihak swasta di Batu 4 di Changkat Jong.
 
Mah semasa berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada 2014 berhasil meyakinkan kerajaan Persekutuan untuk meluluskan pembinaan sebuah universiti di Parlimen itu.
 
Dengan adanya kampus cawangan UPSI dan institusi pendidikan lain seperti kampus perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Komuniti dan Kolej Vokasional di Teluk Intan, daerah Hilir Perak bakal menjadi hab pendidikan negara menjelang tahun 2020, ujar Mah.
 
"Harapan kita Teluk Intan jadi hub pendidikan. Jadi anak muda kita tak perlu keluar daripada Teluk Intan untuk cari kerja," ujarnya lagi.
 
Difahamkan pembinaan Kampus UPSI Cawangan Teluk Intan akan menempatkan Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional (FPTV) dengan 1,000 orang pelajar.    
 
 

Tiada ulasan: