Isnin, 17 Oktober 2016

PAS kemuka 12 bantahan terhadap usul persempadanan semula SPR

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
AMPANG: Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata parti itu telah menghantar 12 bantahan terhadap usul kajian semula persempadanan yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
 
Menurutnya, bantahan itu dilakukan selepas PAS Pusat  mengenalpasti kawasan-kawasan yang terlibat yang berkemungkinan bakal terjejas ekoran cadangan kajian semula persempadanan itu. 
 
"Saya rasa semua DUN PAS yang terlibat ada hantar bantahan. Ada yang tidak terlibat contohnya di Sabak Bernam, jadi kita tidak hantar. 
 
"Kita kemukakan bantahan ikut kawasan, ada 21 kawasan dan lebih daripada separuh kita kemukakan bantahan yang terlibat dengan persempadanan semula," katanya kepada Antarapos ketika ditemui di Program Memperkasakan Pangpasuri Ampang Jaya Sempena Pesta Tanglung, malam tadi. 
 
Pembangkang sebelum ini mendakwa kajian persempadanan semula SPR hanya memberikan kelebihan kepada Umno-Barisan Nasional (BN) pada PRU14 akan datang. 
 
Namun Umno-BN turut mengemukakan bantahan terhadap usul kajian berkenaan.
 
"Di kawasan Chempaka ini memang kita (PAS) ada hantar bantahan sebab persempadanan semula itu ada mengeluarkan lima kawasan daerah mengundi yang PAS menang besar dan di mana dimasukkan kawasan BN kalah tipis dan ada yang BN menang. Jadi bermakna jelas sekali bahawa kajian persempadanan semula ini untuk memberi kelebihan kepada BN," ujar Iskandar lagi.
 
SPR dalam kenyataannya semalam memaklumkan menerima bantahan daripada semua parti politik berhubung usul kajian berkenaan.
 
Menurut badan berkenaan, maklumat berkaitan bantahan termasuk jumlah sebenar yang diterima akan dimaklumkan pada Isnin (esok). 
 
Dalam kajian persempadanan semula itu, SPR mencadangkan usaha penamaan semula 12 kerusi Parlimen dan 34 kerusi DUN di seluruh negara berdasarkan kesesuaian penambahan kawasan dalam sesebuah kawasan.
 
Tempoh bantahan berakhir Jumaat lalu setelah dibuka selama sebulan mulai 15 September lalu, di mana ia perlu dibuat melalui saluran yang betul serta mengikut peraturan dan undang-undang seperti yang dinyatakan dalam Akta SPR.
 
 

Tiada ulasan: