KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang berusia 34 tahun ditemui mati
oleh orang ramai bersama dengan enam kesan tikaman di tempat letak
kereta di pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu
(MAIDAM) disini pagi tadi.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Wan Abdul Aziz Wan
Hamzah, siasatan awal mendapati mangsa ditikan oleh suspek yang juga
bakal adik iparnya menggunakan pisau dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi
tadi.
"Kita mendapat maklumat orang awam mengenai kejadian itu pada pukul
11.36 pagi. Melalui siasatan awal, suspek yang berumur 29 tahun hadir ke
pejabat Maidam bersama keluarganya untuk menyemak status perkahwinannya
yang berasal dari Kuala Terengganu.
"Setelah disemak, suspek didapati telah berkahwin. Bagaimana pun suspek
mendakwa dia masih bujang kepada keluarga mangsa dan berlakulah
pertengkaran dan pergelutan antara suspek dan mangsa yang merupakan
abang kepada bakal isteri suspek," katanya kepada pemberita di tempat
kejadian.
Menurut beliau lagi, suspek dipercayai mengeluarkan pisau sepanjang
enam inci lalu menikam mangsa sebanyak enam kali yang mana dua darinya
di bahagian leher dan dada kiri sehingga menyebabkan kematian kepada
mangsa.
"Suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta dengan bantuan dua
orang rakannya. Suspek turut mengacu kepada pengawal keselamatan yang
menjaga pagar utama pejabat MAIDAM dengan menggunakan pisau yang sama.
"Polis kini sedang melancarkan gerakan memburu suspek dan dua lagi
rakannya dengan melakukan Ops Tutup dan kita percaya suspek dan rakan
subahatnya masih berada dalam negeri ini," katanya.
Katanya pihaknya turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti suspek dan rakan-rakannya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu pengawal keselamatan tersebut Mohd Suffian Yusof, 23,
berkata dia sedang menutup palang pagar utama apabila suspek tiba-tiba
datang sambil mengacukan pisau dan berkata: "Saya tak nak kacau orang.
"Suspek kemudian membuka sendiri palang dan terus memecut keretanya.
Saya sebelum itu tidak tahu telah berlaku kes bunuh. Saya ingatkan ada
kes curi kereta," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan