Ahad, 2 Oktober 2016

Gani soal RM42j, PM kata: Dak, tak ada

MALAYSIAKINI


Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail pernah bersemuka dengan Datuk Seri Najib Razak untuk bertanyakan tentang wang dalam akaun peribadi perdana menteri itu.

Kata bekas timbalan perdana menteri berkenaan Abdul Gani bertanyakan tentang wang berjumlah RM42 juta yang ada dalam dua akaun persendirian itu dan ia berkaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kejadian itu kata Muhyiddin berlaku ketika Abdul Gani masih berkhimat dalam kerajaan sebagai peguam negara.

"Saya diberitahu peguam negara berjumpa perdana menteri dan beritahu, dalam siasatan dibuat SPRM didapati wang sejumlah itu ada dalam akaun (perdana menteri).

"Apabila diberitahu kepada perdana menteri, dia kata: Daaak (tidak), tak ada. Tapi disahkan oleh peguam negara, ada

"The money is in your account, sir (Wang itu ada dalam akaun tuan), tapi dia (Najib) masih berkata: Tak ada. Terbukti wang itu ada di situ kerana beliau (perdana menteri) membelanjakan wang itu," kata Muhyiddin.

Beliau berucap di satu majlis ceramah anjuran PAS di Kemaman, Terengganu malam tadi.

Ia turut disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook presiden penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.

Muhyiddin tidak menyatakan secara jelas tarikh pertemuan berkenaan namun ada kemungkinan besar ia terjadi sebelum 28 Julai iaitu tarikh Abdul Gani disingkirkan daripada jawatanya sebagai peguam negara.

Menurut Muhyiddin Abdul Gani menjelaskan wang bernilai RM42 juta itu "disuntik" ke akaun persendirian Najib melalui dua syarikat.

Dilaporkan ada beberapa deposit wang dibuat ke akaun Najib namun SPRM hanya menumpukan siasatan mereka ketika itu kepada dana yang berasal dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Ltd.

Sebelum ini laporan menyebut wang berjumlah RM42 juta dari SRC International itu dimasukkan ke akaun persendirian perdana menteri pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 selepas disalurkan melalui syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Muhyiddin sekali lagi mengulangi kenyataanya bahawa Abdul Gani memberi penerangan kepadanya dan menunjukkan penyata kewangan mengenai wang bernilai RM2.6 bilion dalam akaun Najib.

Tiada ulasan: