Isnin, 3 Oktober 2016

Realistik bangunkan Kampung Baru

 
 
Pemandangan dari udara perkampungan Kampung Baru yang dikelilingi pembangunan pesat pusat bandar Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 25 JUL 2016
Pemandangan dari udara perkampungan Kampung Baru yang dikelilingi pembangunan pesat pusat bandar Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 
 
 
MUKADIMAH

Meskipun perlahan, perlu diakui penubuhan Perbadanan Kampung Baru (PKS) telah mula menyaksikan bibit-bibit pembangunan di Kampung Baru. Sehingga kini ada enam projek sedang dijalankan dan lapan lagi sedang menunggu lampu hijau. Pengerusi PKB berkata, beliau tidak perlu tergesa-gesa untuk melihat pembangunan drastik di kampung ini. Sementara menunggu 'sambutan' penduduk, PKB giat meningkatkan infrastuktur Kampung Baru agar ia mempunyai kemudahan bertaraf kelas dunia. Namun begitu, nasihat beliau, penduduk Kampung Baru perlu realistik dalam melakukan penawaran harga. "KLCC infrastruktur bertaraf dunia tetapi di sini sub standard lagi. Kedua, di sana tidak ada sekatan penjualan, di sini ada. Hendak jual mahal, tetapi siapa nak beli kalau sekatan hanya kepada orang Melayu. Tidak boleh minta yang tidak real," kata Datuk Affendi Zahari kepada wartawan MalaysiaGazette, AINUL ASNIERA AHSAN dan jurugambar FAREEZ FADZIL dalam pertemuan baru-baru ini

MalaysiaGazette: Apakah perbezaan fungsi, peranan dan tanggungjawab antara Perbadanan Kampong Bharu (PKB) dan Lembaga MAS?
 
Datuk Affendi Zahari: Perbezaannya begitu ketara, fungsi pun berbeza. Kalau kita tengok PKB adalah perbadanan yang ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011, panggil Akta 733 untuk membangunkan Kampung Baru. Kampung Baru ini merupakan kawasan sebesar 301 ekar.
PKB berfungsi melaksanakan dasar, arahan dan strategi berhubung pembangunan dalam kawasan Kampung Baru mengikut pelan struktur dan tempatan yang disediakan oleh Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982. Dan kita juga bertindak sebagai badan penyelaras utama berhubung pembangunan, pembangunan semula dan penambahbaikan kawasan Kampung Baru. PKB juga ditubuhkan untuk merangsang, menggalakkan dan memudahkan pembangunan dan isu-isu berkaitan pertumbuhan ekonomi, komersial, infrastruktur, kediaman, pendidikan Kampung Baru.

Tetapi MAS pula amat berbeza. Sebagai perbandingan, MAS ditubuhkan pada tahun 1950 dan ditadbir oleh Lembaga Pentadbiran MAS. MAS pada mula penubuhannya menentukan siapa yang boleh tinggal di Kampung Baru, struktur rumah, hendak luluskan pelan bangunan empat tingkat, boleh mengenakan pembayaran cukai tertentu tetapi fungsi MAS ini dengan adanya akta-akta baru seperti Akta Kuala Lumpur 1973, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan Akta Perbadanan Kampong Bharu, fungsi-fungsi MAS diambil alih kepada akta-akta ini semua.  Lembaga MAS itu ada lagi, masih wujud cuma apa-apa yang dipertanggungjawabkan dahulu diambil alih oleh akta-akta sedia ada.

Kita buat perbandingan, kalau ada apa-apa enakmen pramerdeka, kalau ada akta baru pascamerdeka, apa-apa undang-undang yang tidak dihapuskan oleh akta selepas merdeka dikira ia masih wujud. Tetapi dalam kes ini kita ada empat akta baru yang dilakukan dahulu oleh MAS. Oleh itu, MAS tidak ada fungsi yang dilakukan dahulu. Lembaga MAS tidak berfungsi seperti dahulu tetapi MAS masih ada, masih bermesyuarat sebulan sekali. Mereka lebih menumpukan kepada isu-isu sosial seperti keselamatan di Kampung Baru dan berinteraksi dengan PKB tentang isu-isu Kampung Baru.
Kampung Baru ada tujuh kampung dan ketua-ketua mereka dipilih oleh MAS.

Boleh Datuk jelaskan tentang status tanah Kampung Melayu kerana sebelum iniada yang mengatakan hampir kesemua tanah di Kampung Baru sudah dikeluarkan hak milik dari senarai Enakmen Penempatan Pertanian Melayu (MAS) 1950 ke bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965, sedangkan satu negara tahu kampung ini terletak di bawah MAS.

Ya. Jadi apabila Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan dan dimasukkan dalam Kanun Tanah Negara, PTG. Dulu secara sejarah nama, pemilik tanah Kampung Baru dipegang oleh MAS kini fungsi itu telah dipindahkan ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan. Tanah-tanah yang masih belum mempunyai hak milik, mereka sedang berurusan dengan MAS dan MAS akan beri pandangan mereka untuk diambil tindakan oleh PTG. Kenyataan itu tidak salah.

Tapi, kalau mengikut sejarah tanah Kampung Baru adalah tanah kurnia oleh Selangor. 

Tanah kurnia akan diberi hak milik jika berdaftar dengan pejabat tanah. Mula-mula memang tanah kurnia. Saya ada kawan yang mendapat tanah kurnia tidak jauh dari Batu Caves. Mereka yang dapat lot, perlu bayar premium atas nama pemunya. Kalau tanah milik Abu, maka Abu yang punya.

Di Kampung Baru apabila ada MAS, tanah-tanah itu memang ada pemiliknya. MAS mengurus pemilikan tanah. Nama Abu, Ahmad, Ali. Itu yang berlaku. Di Kampung Baru ada tanah milik tetapi ada beberapa lot ada tanah tanpa tuan milik tanah. Apa yang berlaku ada seorang datang bertemu dengan MAS untuk membersihkan lot mereka yang tidak bernama itu, walaupun katanya memang keluarganya duduk di situ sejak dahulu. Jadi apa yang mereka lakukan sekarang berunding dengan MAS. MAS pun ada rekod. MAS yang akan tulis kepada PTG untuk pengesahan pewaris yang sah. Kemudian baru PTG akan keluarkan geran baru atas nama pemilik.



Masih ada tanah di Kampung Baru yang tidak ada pemilik?

Ada tetapi saya tidak boleh memberitahu secara tepat.

Dalam tujuh kampung di Kampung Baru, berapa jumlah pemilik tanah yang ada?

Berdasarkan pendaftaran MAS pada tahun 2014 terdapat 4,300 pemilik. Setakat Disember 2015, apabila PKB mula buat engagement terdapat 5,300 dengan jumlah lot 1,355. Pemilik adalah nama di atas geran.

Idea untuk membangunkan Kampung Baru sudah lama dan gagal dilaksanakan. Mengapa pembangunan kampung itu masih kekal menjadi fokus kerajaan?

Dulu semasa tahun 1980an ada satu kes orang ambil tanah Kampung Baru, pajakkan ia dan tidak berbayar, kemudian hilang. Selepas itu timbul syak wasangka kalau kerajaan masuk mesti ada negatifnya. Kalau ambil sejarah lima tahun lalu ketika mengadakan dialog dengan penduduk sebelum penubuhan Akta Perbadanan Kampung Bharu ini. Mereka ingat akta ini membolehkan PKB datang dan rampas tanah. Itu adalah isu legasi yang membawa pandangan negatif. Ketika itu Titiwangsa di bawah Pas yang sering kata jangan setuju, nanti hilang tanah. Itulah punca tanggapan negatif dan menjadi mendalam.

Penduduk Kampung Baru kena realistik kerana tanggapan nakal sebelum ini memang tidak asas pun. Perihal harga tanah juga disentuh. Kita tidak boleh minta bulan dan bintang kalau jalan pun berlopak. Dengan kemudahan agak ketinggalan di Kampung Baru dan sistem pun tidak terkini. Dulu ada orang buat perbandingan bahawa duduk di Kampung Baru tidak jauh dari KLCC tetapi kenapa di sana dapat RM3,000 kaki persegi, sini tidak boleh. Ini pun cakap-cakap tidak realistik. Kita dimomokkan. Siapa yang tidak mahu harga yang tinggi tetapi keadaan berbeza.

Pertama, di KLCC infrastruktur bertaraf dunia tetapi di sini sub standard lagi. Kedua, di sana tidak ada sekatan penjualan, di sini ada. Hendak jual mahal, tetapi siapa nak beli kalau sekatan hanya kepada orang Melayu. Tidak boleh minta yang tidak real.



Berapa harga tanah semasa di Kampung Baru jika di KLCC mencecah RM3,000 sekaki persegi?

Yang sebenarnya, pembelian dan penjualan adalah market driven. Kalau anda hendak jual RM350 sekaki persegi dan saya hendak beli, maka adalah persetujuan. Willing buyer, willing seller. Saya ambil contoh UDA beli tanah 10,000 kaki persegi untuk buat rumah pameran UDA Legacy. Ia dibeli pada harga RM500 kaki persegi tetapi tidak beberapa bulan sebelum itu, UDA beli tanah yang beli daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk UDA Legacy pada harga purata RM318 hingga RM320 sekaki persegi. Bila hendak buat showroom harga sudah naik. UDA hendak juga beli, maka terimalah harga jualan yang ditawarkan.Ada satu tanah di Jalan Raja Muda Abdullah dijual pada harga RM793 disebabkan berada di hadapan jalan. Anda hendak dan saya hendak beli maka termeterailah penjualan. Itu market driven.

Kedua, kerajaan telah menerima pelantikan enam jurunilai perunding. Nilai masa hadapan Kampung Baru berkemungkinan RM800 hingga RM1,000 kaki persegi dan ada kaveatnya. Contoh tanah mesti lebih satu ekar dan tidak ada masalah faraid, maknanya tanah tidak ada masalah. Kalau tanah anda 8,000 kaki persegi apa yang boleh pemaju buat tanah sebesar itu. Anda boleh pakat-pakat dengan penduduk kampung dan boleh jumpa PKB. Itulah pandangan enm perunding yang diketuai oleh Rahim & Co. Kenapa pelantikan enam perundingan? Kita hendak tunjuk pada orang kampung ini bukan pandangan seorang sahaja.

Bagaimana PKB mahu memudahkan pembangunan Kampung Baru?

Orang kampung perlu berpakat-pakat sama dan PKB akan cari pemaju yang mahu membuat pembangunan di sini. Bukan PKB yang memajukan, kami sekadar memudahcara sahaja.

Tanah Kampung Baru hanya boleh dijual kepada Melayu, adakah PKB yang mencarinya?

Kita tidak cari pembeli, yang cari adalah pasaran tetapi kalau hendak tunjuk tidak ada keraguan pemilikan tanah Melayu akan hilang, hanya boleh pindah kepada Melayu. Pemaju mestilah dalam kalangan yang berstatus Melayu. Itu yang sukar kerana kerajaan perlu mengenakan kunci itu supaya tidak terlepas tetapi pada tangan sama ia menyukarkan pembangunan.

Jadi macam mana?

Kita ada perancangan ada banyak syarikat milik kerajaan (GLC)  berstatus Bumiputera seperti Tabung Haji. Itu sahaja cara yang boleh dilakukan. Pajakan boleh diberi kepada bukan Bumiputera, tidak ada masalah. Banyak syarikat besar tidak mahu miliki hartanah, hendak sewa sahaja. Kata GLC buat, mereka boleh sewa kepada sesiapa sahaja. Cuma pemilikan tidak boleh sama sekali kepada bukan Bumiputera sekiranya kerajaan terus di perintah oleh Barisan Nasional kerana kerajaan yang memerintah boleh buat apa-apa sahaja.

Saya beri contoh Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, apabila datang kerajaan baru datang, mereka roboh dan tidak peduli. Walaupun sebelum ini ada kata kalau kerajaan DAP berkuasa tidak akan roboh tetapi ia dirobohkan. Kerajaan berkuasa hendak buat apa benda pun, sama ada kerajaan akan buat, ia adalah isu lain. Kalau persoalan undang-undang, kerajaan memang boleh buat apa sahaja yang mereka mahu. Kalau soalan politik, kita kena tengok siapa berkuasa.

Bagaimana minat GLC terhadap tanah Kampung Baru?

GLC memang ada menunjukkan minat kepada tanah Kampung Baru dan mahu menyertainya seperti MRCB, Permodalan Hartanah Berhad, Tabung Haji. PKB yang bantu mengenal pasti tapak-tapak yang boleh kita cadangkan.

Maklum balas penduduk Kampung Baru pula bagaimana?

Penduduk semakin ramai yang datang ke PKB dan saya kira itu sebagai positif.  Ada penduduk pakat-pakat hendak menjual tanah dan sekarang rundingan sedang berjalan. Ada juga yang berpakat dengan mengeluarkan pembangunan tanah mereka. Kita alu-alukan penduduk, tuan punya tanah, waris yang mahu membangunkan tanah.

Penduduk ada tiga pilihan dalam membangunkan tanah Kampung Baru. Yang pertama penduduk boleh outright, anda berumur 60 tahun, 70 tahun dan tidak mahu tinggal di sini atau anda memang tidak tinggal sini pun, maka juallah. Kedua, jual dengan penguasaan 50:50. Kalau ada pemaju hendak bangun, anda mungkin boleh mengambil separuh tunai dan bakinya dalam bentuk unit. Ketiga, mungkin saya ada tanah dan tidak mahu duit sekarang. Anda boleh ambil unit kediaman yang dimajukan oleh pemaju. Selepas projek dimajukan anda boleh duduk di Kampung Baru semula di tapak yang sama.

Dulu rumah menggunakan sistem elektrik 1950an, 1960an, tetapi sekarang dalam kediaman, kemudahan dan suasana abad ke-21. Dulu mungkin anda tinggal di sebuah rumah tetapi dengan cara ini anda mungkin dapat dua unit tambahan kediaman, sebagai contoh. Saya boleh duduk sebuah, sewa sebuah lagi atau disebabkan tidak mahu wang, saya dapat rumah tiga, enam unit. Boleh bagi anak seorang satu. Pilihan di tangan pemilik tanah, terpulang.

Jika kerajaan serius mahu membangunkan Kampung Baru mengapa tidak diberi tanah lain sebagai pengganti tanah sedia ada?

Mana ada tanah lagi di Kuala Lumpur. Dulu semasa zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir ada ura-ura untuk pindahkan di Sepang, siapa yang mahu. Gantian tanah pula melibatkan tanah rizab Melayu, tittle Kampung Baru Malay Agriculture Settlement, satu sahaja di Kuala Lumpur. Dalam kampung ini pun ada dua fasa,  satu di luar MAS. Tanah itu tidak ada sekatan. Yang dalam MAS ada sekatan, tidak boleh jual kepada bukan Melayu.

Kampung di luar sekatan MAS di sebelah mana?

Kalau turun dari AKLEH ada flat PKNS, itu di luar MAS. Tanah di depan Petronas, di tepi ada projek dipanggil M11. Itu dalam Kampung Baru tetapi di luar MAS. Harga tanahnya RM1,000 lebih. Kenapa macam itu, ia sejarah, kisah dulu.

Praktikal ke sekatan jualan jika pembangunan Kampung Baru itu diambil kira?

Memang kita boleh jual kepada sesiapa yang mahu, jika kerajaan tukar dasar. Tetapi adakah orang Kampung Baru boleh terima? Kalau orang Kampung Baru kata ok, saya pun ok. Kalau kita tidak jaga kepentingan Melayu, dulu sudah selesai. Saya tidak kata elok, saya tidak kata praktikal tetapi niat untuk jaga kepentingan Melayu dalam pemilikan tanah di Kampung Melayu eloklah sekarang ini.

Tetapi jika anda bercakap mengenai pembangunan, kunci itu tidak semestinya elok. Ia membantut perkembangan. Yang ada kuasa membeli adalah bukan Melayu. Itu hakikat. Bila anda mahu jual, anda tawarkan RM1,000 bagi sekaki persegi tetapi beli anda pakai 'topi' lain, anda hendak beli, kita akan cakap "janganlah beri RM1,000 kaki persegi, mana mampu". Orang yang sama hendak menjual RM1,000 kaki persegi, tidak pula mahu membeli kondominium yang berharga RM800 kaki persegi, hendak  pada harga RM300 kaki persegi.

Kalau macam itu juallah pada harga RM200, RM300, RM400 kaki persegi. Orang Kampung Baru perlu tahu anda tidak boleh ada kiri dan kanan. Kita boleh menjual harga yang tinggi jika infrastruktur baik, ada pasaran terbuka. KLCC dijual mahal kerana ada infrastruktur elok dan pasaran terbuka. Pasaran Kampung Baru dipaksa tutup. Sebab itu kerajaan sediakan 'kunci' itu. 'Kunci' itu memberi tekanan kepada pasaran.
Jadi kita panggil syarikat-syarikat milik Bumiputera tetapi penduduk kena realistiklah pada harga.
Penduduk tidak boleh letak harga RM2,000 kaki persegi. Kalau minta RM2,000, syarikat masuk dan buat bangunan baru, mereka hendak jual pada siapa jika entry level pun sudah RM2,000 kaki persegi. Pemaju pula boleh jual pada Melayu sahaja. Melayu mana pula yang mahu membeli kondominium yang berharga RM2,000 kaki persegi ini? Inilah dilema kita.

Boleh Datuk jelaskan jika ada GLC yang beli dan bangunkan Kampung Baru, bagaimana pemilikan hak orang Melayu di tanah itu dapat dikekalkan?

Kerajaan tidak boleh pindah kepada bukan Melayu. Kalau ada proksi pun nama tidak boleh ditukar kepada bukan Melayu. Kata Fatimah jual kepada Efendi yang merupakan proksi kepada bukan Melayu. Tapi Efendi tidak boleh tukar nama pun kepada bukan Melayu. Efendi akan pegang selama-lamanya.

Katalah MRCB beli tanah di Kampung Baru dan membangunkan kondominium. MRCB tidak boleh menjual unit-unit kondo kepada bukan Melayu. Tetapi di luar MAS tidak mengapa, contohnya flat PKNS di luar Akleh. Oleh sebab itu, jika penduduk Kampung Baru jual mahal tanah mereka, ia akan menyukarkan Melayu lain untuk membelinya.

Pada masa ini, bagaimana dengan maklum balas penduduk Kampung Baru dengan pembangunan di kawasan berkenaan?

Pemikiran mereka semakin terbuka. Saya yakin penduduk akan terbuka dalam memajukan tanah mereka. PKB terima banyak maklum balas yang mahu terlibat dalam pembangunan. Setakat ini ada enam projek dalam pembangunan dalam kawasan 301 ekar ini yang dahulunya tidak pernah nampak apa. Lapan lagi projek tengah menunggu kelulusan.
Kalau kita boleh 'blow your own trumpet, you should'. Kita perlu maklumkan kepada orang ramai apa hasil yang kita buat dalam tempoh setahun. PKB bukan sekadar bercakap. Orang Kampung Baru terlalu banyak dengar guruh di langit tetapi setitik air pun tak turun.
 PKB ada sasaran untuk mendapatkan persetujuan majoriti besar, atau mungkin seluruh pemilik tanah Kampung Baru untuk membangunkan kawasan ini?

Saya mengambil pendekatan perlahan. Rome wasn't build an a day. Sekarang ini kita ada enam projek dan sedang melihat dua yang kita buat inisiatif orang kampung dengan pemaju. Kalau saya boleh buat dalam setahun lagi, sebab jawatan pengerusi saya tinggal setahun lagi, kalau boleh buat lagi satu atau ikat dua, itu sudah cukup baik. Kita tidak boleh bangunkan sekali gus. Kalau anda tanya soalan itu, saya jawab ini adalah tanah seluas 301 ekar, bukan mudah. Kalau dapat parcel by parcel pun ok. Saya tidak perlu menampakkan menara berkembar di sini esok.

PKB telah kenal pasti satu kawasan yang akan dibangunkan Kampung Baru City Centre (KBCC). Itu menjadi tumpuan. Ia dekat dengan Kampung Masjid, 40 ekar. Ia lokasi KBCC. Penduduk sudah sepakat, dalam 20 lot, lebih kurang empat ekar. Kita sedang melaksanakan mekanisme. Kalau PKB dapat kelulusan kerajaan cepat, lagi cepat kita buat. Yang penting kita dapat tanah dulu. Lepas itu kita boleh panggil siapa sahaja, Permodalan Hartanah Bumiputera, Tabung Haji, siapa pun hendak masuk. Kita juga boleh tubuh konsortium yang mana semua GLC jadi pemegang kepentingan. Tanah di sini pun mahal. Kerajaan cukup komited dan tidak akan toleh ke belakang lagi. Kerajaan mahu Kampung Baru dibangunkan.

Apakah infrastruktur akan dilakukan di Kampung Baru dalam usaha meningkatkan nilai tanah di sini?

DUKE sudah setuju masuk Kampung Baru. Kita sedang berbincang tentang aliran keluar, masuk di mana. Kalau kita DUKE masuk Kampung Baru akan ada jaringan terbuka. Nilai hartanah akan melonjak. Kalau DUKE masuk, tentulah akan ada kerja-kerja pembesaran jalan di Kampung Baru. Siapa yang mendapat faedah, sudah tentu penduduk di sini.

MRT juga ada di sini. Kita sedang bekerja keras untuk Saloma Link dan indikasi yang kami terima adalah begitu positif. Kalau ada Salome Link, ia akan menjadi 'game changer' untuk Kampung Baru. Orang Kampung Baru boleh berjalan untuk ke KLCC, dari KLCC boleh berjalan ke Kampung Baru. Jambatan ini bukan sekadar jambatan besi tetapi jadi ikonik, tatapan orang. Ini tempat orang Melayu, sudah tentu saya mahu yang terbaik. Kalau ada RM1, kita akan buat RM1 yang terbaik, itu maksudnya.

Kita telah melakukan kerja-kerja pengindahan Kampung Baru, seperti pencahayaan masjid. Kita adakan laluan pintas dari dari TPCA sehingga hampir Quill Mall, kira-kira satu kilometer. Tempat jalan kaki sahaja. Mungkin ia tidak besar seperti tempat lain, dengan kekangan yang ada kita bina kemudahan ini. Dalam masa beberapa bulan lagi, laluan pintas itu akan siap di atas Sungai Bonus. Saya mahu mencadangkan kepada kerajaan supaya adakan laluan basikal dari Quill Mall ke Tasik Titiwangsa. Nilai-nilai tambah ini akan meningkatkan kemudahan kelas dunia di Kampung Baru. Nilai tambah tidak perlu bertakhtakan emas.

Tepi masjid pun PKB telah tukar tempat pejalan kaki, kita tukar cara pokok ditanam. Kita tentukan standard. Kita letak bebola kerana tidak mahu penunggang motosikal letak kenderaan mereka. Tempat pejalan kaki, biarlah pejalan kaki guna. Kita tidak mahu apabila pejalan kaki berjalan ada motor hon. Kita mahu mendidik peradaban etika di jalan raya. Sekarang ini penduduk yang jalan kaki di Kampung Baru boleh jalan dengan selamat sebab tidak ada motosikal yang kacau.



Apakah bentuk pembangunan hartanah yang disasarkan di Kampung Baru?

Kita hendak juga melihat Sky Setia (projek perumahan mewah di Jalan Raja Muda Abdul Aziz). Takkanlah keseluruhan kawasan ini hendak dibina rumah mampu milik berharga RM400,000, RM500,000 kerana pemaju kena cover perkara lain-lain. Kalau hendak ke tahap KLCC itu sudah RM800,000, RM900,000. Jadi kita perlu letak dalam 'beg' apa yang anda mahu. Takkan semua hendak bina rumah PR1MA di seluruh Kampung Baru, itu bukan idea yang baik.

Apa pun jaminan yang diberikan, PKB tidak dapat menolak kegusaran penduduk Kampung Baru kemungkinan besar tanah itu akan dibuka sekatan, kalau tidak semua, mungkin sedikit. Ini kerana kepimpinan boleh bertukar.Apa komen Datuk?

Orang boleh kata UMNO as the driver of the bus, kita yang membuat penentuan, kita ada satu bas yang ada 16 pakatan. Satu sahaja parti Melayunya. Kalau ikut majoriti UMNO kalah, tetapi kalau teruk pun kita akan perjuangkan Melayu dan agama. Tetapi yang lain dalam bas yang dipanggil pakatan, pemandu mereka adalah DAP, yang lain hanya jadi tukang sokong. Mereka duduk di mana bas itu pergi dan di mana bas itu melencong. Suara apa yang mereka ada, tidak ada apa-apa.

PNB pun, kalau kerajaan bertukar esok dan kata semua saham PNB orang boleh beli, tidak payah ASB, Amanah Saham 1Malaysia, cuma ada satu sahaja dan gabungkan semua amanah saham yang ada jadi ASB.  Kenapa tidak boleh, kerajaan boleh buat. Jangan pijak kanan, kata apa akan jadi dengan nasib Melayu. Tapi kaki kiri pula sokong pihak yang hendak jatuhkan Melayu. Jadi untuk memastikan hak pemilikan Melayu di Kampung Baru dipertahankan adalah dengan mengekalkan kerajaan sedia ada.

Kerajaan mempunyai polisi bahawa tanah di Kampung Baru tidak akan bertukar milik kepada bukan Bumiputera. Di bawah dasar ini tidak mungkin pemilikan tanah Melayu di kampung ini akan terhakis.
Sebab itu kerajaan mahu tolong sehingga beri kawasan 301 berstatuskan comercial city centre, dapat plot ratio 10. Katakan tanah penduduk 43,000 kaki persegi automatik boleh pembangunan 430,650 kaki persegi. Di Kuala Lumpur ini mana ada plot ratio 10 kecuali KLCC.
Anda ada tanah sekangkang kera, kerajaan tolong bagi times 10 supaya saiz pembangunan besar. Bagus untuk Melayu. Saya tidak nampak yang mana rugi. Sebab itu kami di PKB bekerja keras untuk terang kepada penduduk mengapa mereka perlu sertai dalam pembangunan Kampung Baru. Plot ratio 10, ia adalah tinggi. Itu standard KLCC,.
Tapi kena ada keveat. Kalau tanah 5,000 kaki persegi anda hendak buat apa dengan saiz itu. Itu saiz satu rumah sahaja, tidak ada plot ratio. Untuk buat pembangunan perlu 30,000 kaki persegi ke atas, baru boleh bina jalan masuk untuk kenderaan, itu maksudnya.

Dan sehingga kita bercakap ini, tanah Kampung Baru ada sekatan, untuk Melayu sahaja. Melayu yang dimaksudkan adalah seperti dalam Perlembagaan, Artikel 160. - MalaysiaGazette

Tiada ulasan: