Penduduk Mersing menggesa kerajaan negeri agar menangani masalah ketiadaan air yang berlarutan di daerah ini sejak catuan bermula pada bulan April lepas.
"Kami faham masalah air yang tidak nencukupi di empangan ekoran tiada hujan tetapi sampai bila kami harus hidup dalam keadaan air yang sehari ada, tiga hari tiada.
"Pada musim raya ni, keadaan jadi tambah teruk kerana anak-anak semua balik dan nak mandi atau basuh pinggan mangkuk tak tahu nak cari air di mana," kata seorang pesara kerajaan, Salamah Hasim.
Katanya, akibat sudah hampir empat bulan menanggung sengsara, dia memohon agar pihak kerajaan melihat permasalahan ini secara serius.
Seorang lagi penduduk dari Kampung Air Papan, Mat Noor Abu berkata, catuan air yang ditanggung rakyat sepatutnya tidak selama empat bulan.
"Dah lama sangat air tak ada di sini. Susah kami nak masak, mandi dan basuh pakaian kerana tiada sumber air yang boleh kami gunakan.
"Tahun ni tak boleh buat kenduri doa selamat nak sambut raya macam tahun-tahun sudah sebab nanti tak ada air nak basuh pinggan," ujarnya.
Jelasnya, akibat ketiadaan air, tetamu yang datang terpaksa dihidangkan menggunakan cawan dan pinggan pakai buang.
"Tak tahulah sampai bila air akan kembali normal di sini. Saya harap kerajaan dapat buat sesuatu segera untuk selesaikan masalah kami ini," katanya.
Masalah ketiadaan air di Mersing disebabkan kapasiti air di Empangan Congak yang surut sejak kemarau melanda daerah ini.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasni Mohamad berkata kerajaan negeri sudah melantik pakar bagi mengkaji sama ada air dari empangan Labong di Endau dapat diguna bagi meningkatkan kapasiti takungan air di Empangan Congok.
Jika ini dilaksana akan membabitkan pemasangan paip sepanjang lapan kilometer dari Labong ke Congok dan kajian awal mendapati projek melibatkan kos RM16.3 juta.
Kajian katanya dijangka siap dalam tempoh dua bulan dan jika dilaksana kerja pemasangan paip dan pembinaan rumah pam akan disiapkan dalam tempoh 12 bulan.
Selain itu katanya kerajaan negeri melalui Syarikat Air Johor (SAJ) turut memasang paip sepanjang 12 kilometer dari Loji Air Nitar ke Empangan Congok untuk menambah jumlah kapasiti air, yang dijangka siap bulan depan. -- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan