Selasa, 5 Julai 2016

Jadi mangsa ah long walau tak pinjam wang



Jadi mangsa ah long walau tak pinjam wang
Kok Tiong (kiri) menunjukkan pagar rumahnya yang dikunci ah long dan mengmukakan aduan ke pejabat Michael Tay.
 
 
JOHOR BAHRU – Seorang pemandu teksi tertekan selepas rumahnya di Jalan Camar 8, Taman Perling, di sini, menjadi sasaran ah long sedangkan dia tidak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana ceti haram.

Menurut Lim Kok Tiong, 58, kediamannya disimbah cat, selain dilukis simbol wang malah pagar rumahnya turut dikunci.

Katanya, kejadian pertama berlaku 28 Jun lalu kira-kira jam 8 malam.

Dia hanya menyedari kejadian pertama selepas dimaklumkan oleh anak jirannya menerusi aplikasi WhatsApp yang ternampak seorang lelaki berkulit gelap mengunci pagar rumahnya ketika dia tiada di rumah.

“Saya tidak pasti mengapa kediaman kami menjadi sasaran ceti haram sedangkan kami tidak pernah membuat pinjaman dengan ah long. Kemungkinan ada individu menyalahgunakan alamat kami.

“Ini kerana saya pernah kehilangan kenyataan kad kredit yang diposkan ke rumah, saya syak ada pihak yang menggunakan alamat rumah saya untuk membuat pinjaman. Malangnya bukan saya sahaja menjadi mangsa tetapi keluarga dan jiran juga turut menjadi sasaran.

“Apabila saya keluar bekerja keluarga saya diganggu geng ceti haram malah kereta jiran saya yang diletakkan di luar rumah turut disimbah cat,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Biro Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan MCA negeri, Michael Tay Chee Boon.

Tertekan dengan gangguan itu, Kok Tiong membuat laporan di Balai Polis Taman Perling, di sini, 28 Jun lalu.

Bagaimanapun ah long masih lagi mengganggu rumah mangsa yang kini menetap bersendirian manakala isteri dan tiga anaknya tinggal di Singapura.

“Saya pernah memaparkan nombor telefon saya di pagar rumah supaya ‘ah long’ berkenaan menghubungi saya namun sehingga kini tiada sebarang respons daripada mana-mana pihak yang mahu mengaku bertanggungjawab,” katanya,

Sementara itu, Michael Tay berkata, pihaknya yakin sindiket ceti haram berkenaan silap sasaran.

“Mereka yang bebas bertindak dan mengancam orang awam seharusnya diambil tindakan tegas,” katanya.


Tiada ulasan: