Isnin, 4 Julai 2016

Adakah saya akan ditangkap?

FREE MALAYSIA TODAY


Kenapa hanya perdana menteri diberikan keistimewaan polis sedangkan tidak ada sesiapa pun yang ditahan meski ramai pernah mengaibkan menteri lain.
 
 
 
Lim-Lip-Eng

Oleh Lim Lip Eng


Adakah saya sepatutnya menyerah diri kepada pihak berkuasa kerana saya membuat komen dan berkongsi hal yang boleh mengaibkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pelbagai kumpulan aplikasi Whatsapp sejak beliau menjadi perdana menteri pada 2009?

Adakah saya akan ditahan jika saya belum memadamkan gambar atau komen di dalam telefon bimbit saya setelah penulis politik berusia 76 tahun, ‘Pak Ya’ yang pernah berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka direman pihak polis selama tiga hari bermula semalam kerana didakwa menyebarkan gambar mengaibkan Najib dalam kumpulan Whatsapp?

Ramai menerima dan berkongsi dalam kumpulan Whatsapp mereka, satu klip video yang memaparkan aksi Fakkah Fuzz, seorang pelawak Singapura yang menggelar Najib sebagai ‘pencuri’. Adakah mereka juga perlu menyerah diri kepada polis?

Kenapa hanya Najib yang diberikan keistimewaan oleh pihak polis sedangkan tidak ada sesiapa pun yang ditahan meski ramai pernah mengaibkan Datuk Ahmad Maslan yang ketika itu timbalan menteri kewangan, pada hari pertama Ramadan tahun lalu berikutan gambar ‘Nasi Goreng Ahmad Maslan’ bebas GST olehnya?

Gambar pemimpin pembangkang lebih banyak dijadikan bahan suntingan namun mereka menerimanya sebagai sebahagian daripada kehidupan figura politik awam. Pihak polis sepatutnya sudah tidak lagi dimanipulasi oleh mereka yang berkuasa demi menakut-nakutkan mereka yang berani melawan dan mengkritik kerajaan.

Dalam kes ini, Lau Weng San Adun DAP Kampung Tunku, Petaling Jaya di mana penulis veteran 76 tahun ini tinggal dan saya akan membantu warga emas tersebut apabila beliau dibebaskan dari lokap nanti, untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan tentang kemungkinan salah guna kuasa polis.

Amat memualkan apabila seorang warga emas terpaksa menjadi mangsa keadaan pada hari-hari terakhir Ramadan sedangkan masih ada banyak jenayah lain yang tidak ditangani pihak berkuasa.

* Lim Lip Eng ialah ahli Parlimen Segambut.

Tiada ulasan: