Sebanyak 100 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyamar sebagai penumpang bas ekspres dalam operasi khas sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dari 2 sehingga 16 Februari ini.
Ketua
Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata seorang pegawai JPJ akan
ditugaskan dalam bas ekspres secara rambang dengan mengenakan pakaian
preman dalam memastikan pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya yang
ditetapkan.
Katanya, tindakan itu perlu memandangkan orang ramai banyak memilih bas
sebagai medium pengangkutan utama semasa musim perayaan untuk pulang ke
kampung halaman masing-masing.
"Pegawai yang ditempatkan dalam bas itu akan menilai
tahap pemanduan pemandu bas dan jika mereka melakukan kesalahan, pegawai
kami akan terus saman mereka setibanya di destinasi yang ditujui,"
katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian
Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki di Plaza Tol Sungai Besi Arah
Selatan di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi
Eksekutif Kawasaki Motors Malaysia Datuk Hanipuddin Raja Datuk Nong Chik
dan Ketua Pengarah Miros Prof Dr Wong Shaw Voon.
Ismail berkata, pada masa sama pegawai JPJ juga akan
turut melakukan pemeriksaan teknikal terhadap bas ekpsres di kesemua 82
depoh bas di seluruh negara dalam tempoh operasi berkenaan.
"Jika bas yang diperiksa disahkan berada dalam keadaan baik maka kami
akan keluarkan sijil bagi membenarkan bas itu beroperasi," katanya
sambil menambah pemeriksaan juga akan dilakukan di terminal bas utama
terhadap pemandu bagi memastikan mereka bebas dadah.
1,800 pegawai terlibat
Dalam pada itu, katanya sebanyak 1,800 pegawai turut serta dalam 'Ops
Sikap' dan mereka juga akan menyertai operasi menyeluruh di seluruh
negara yang memfokuskan kepada penunggang motosikal pada 2, 6, 12 dan 14
Februari nanti.
"Ops Sikap kali ini akan menumpukan kepada kesalahan pengguna jalan raya
seperti memotong garisan berkembar, memotong dari sebelah kiri, tidak
memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang keselamatan dan
menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
"Sementara operasi menyeluruh yang bermula pada 8
sehingga 12 tengah malam itu turut melibatkan agensi lain seperti Polis
Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen," katanya.
Selain itu, katanya sebanyak 500 anggota skuad muda JPJ akan menyertai
kempen advokasi bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya di 13 kawasan
rehat dan rawat terpilih di lebuh raya utama negara bagi meningkatkan
kesedaran kepada pengguna lebuh raya agar dapat memandu secara berhemah.
Sementara itu, Liow berkata operasi penyamaran pegawai JPJ dalam bas
ekspres itu bukan bertujuan untuk mengenakan hukuman penalti tetapi
meningkatkan kesedaran supaya mereka mematuhi peraturan jalan raya
ditetapkan.
"Kita bukan nak kenakan hukuman penalti tetapi saya lihat ini sebagai
satu inisiatif untuk menyelamatkan nyawa daripada menjadi mangsa nahas
korban jalan raya," katanya.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan