THE RAKYAT POST
Menteri Besar Kedah,
Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan tidak akan hadir namun akan
berjumpa pihak Jemaah Pemangku Sultan Kedah secara perseorangan. - Foto
TRP/Adib Hakim
ALOR SETAR, “Pertemuan itu bukan dengan saya, dengan ADUN-ADUN serta Jemaah.”
Itu kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri
Mukhriz Mahathir ketika diminta mengulas mengenai satu pertemuan antara
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dengan anggota Jemaah Pemangku
Sultan Kedah, esok.
Pertemuan tersebut dipercayai berkaitan dengan kemelut politik membabitkan kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar.
Ketika ditanya mengenai sebab pertemuan
tersebut, Mukhriz berkata kemungkinan pihak Jemaah Pemangku Sultan Kedah
mahu mengetahui pendirian politik di kalangan ADUN terlibat.
Bagaimanapun, Mukhriz mengesahkan tidak akan hadir namun akan berjumpa pihak Jemaah Pemangku Sultan Kedah secara perseorangan.
“Mungkin ada beberapa soalan yang Jemaah
nak tanya kepada ADUN-ADUN ini untuk memastikan adakah benar mereka
mempunyai pendirian seperti yang dilaporkan dalam sidang media pada 20
Januari lalu.
“Saya
tidak hadir. Kalaupun saya hadir hanya berjumpa secara perseorangan.
Saya tidak akan berada dalam pejabat di mana wawancara itu diadakan,”
katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul
Halim di sini hari ini.
Suasana politik di Kedah ‘panas’ sejak
kebelakangan ini apabila Mukhriz menerima tekanan daripada ADUN dan
Anggota Parlimen Umno Kedah, serta pemimpin kanan Umno negeri yang
diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad
Bashah Md Hanipah.
Mereka secara terbuka menyuarakan hilang
keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.
Terdapat maklumat bahawa 19 daripada 21
ADUN BN – 17 daripada Umno dan dua MCA – telah menandatangani surat
akuan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Tan
Sri Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, yang juga Tunku Temenggong
Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi
membincangkan mengenai pertukaran Menteri Besar.
Turut hadir pada pertemuan hampir sejam
itu adalah dua lagi anggota jemaah iaitu Tunku Laksamana Kedah Tan Sri
Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku
Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Najib dalam sidang media pada hari yang
sama selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di
Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dilaporkan sebagai berkata
beliau telah menyembah maklum beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah
Pemangku Sultan Kedah berhubung kemelut berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan