shahbudindotcom
Kesian dengan Ahmad Maslan, dalam waktu terdekat ini saja sudah dua kali beliau diturunkan pangkatnya oleh Najib Razak.
Orang lain membodek dan mengampu dapat naik pangkat, beliau diturunkan pula pangkatnya.
Sebelum
ini, beliau diturunkan pangkat sebagai timbalan menteri di kementerian
paling senior iaitu kewangan kepada timbalan menteri juga di kementerian
perdagangan antarabangsa dan industri, kini jawatannya dalam UMNO
sebagai ketua penerangan pula diturunkan kepada ahli MT lantikan saja
dengan pengkhususan mengetuai biro IT.
Jawatan
Ketua Penerangan UMNO yang disandang oleh Ahmad Maslan sejak Najib
menjadi Presiden UMNO bermula 2009 lalu kini diambil alih oleh Annuar
Musa, seorang bekas menteri dan Ahli Parlimen Ketereh, Kelantan.
Jika
penurunan pangkatnya sebagai timbalan menteri di kementerian paling
senior kepada yang kurang senior sebelum ini dikaitkan dengan
kegagalannya memberi penerangan berkaitan GST sehingga timbul pelbagai
kekeliruan dan momokan, barangkali pertukaran jawatan dalam UMNO ini
kerana Najib juga tidak puas hati dengan prestasinya dalam memberi
penjelasan berkaitan isu-isu semasa dalam negara.
Dengan
mengetuai biro IT yang berperanan dalam hal-hal siber dan digital
untuk UMNO, Ahmad Maslan pasti tidak akan banyak bercakap seperti selalu
lagi, sebaliknya akan lebih kerap bermain di medium media sosial dan
alam maya saja.
Agaknya
dalam perkiraan Najib, pointer 3.85 yang dimilikinya tidak cukup sesuai
untuk Ahmad Maslan banyak bercakap dan memberi penerangan di sana sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan