[ULASAN] Manusia
memang mudah lupa. Tidak kiralah sama ada seseorang itu rakyat biasa
atau pemimpin. Penyakit lupa ini boleh berlaku pada sesiapa sahaja tidak
kira usia, pangkat atau darjat. Itu lumrah.
Namun apabila kepelupaan manusia itu dikaitkan dengan tujuan untuk
meraih markah politik semata-mata, ia boleh menjadi jenayah moral yang
agak besar.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyifatkan krisis
menteri besar yang sedang berlaku di Kedah ini sesuatu yang 'buruk'
kerana kononnya penyandang, Datuk Mukriz Mahathir, didesak berhenti
secara terbuka.
Beliau juga menuduh bahawa episod desakan pucuk pimpinan Umno Kedah
mahu menukar Mukriz sebagai menteri besar baru sebagai kurang tertib
atau tidak beretika.
"Proses penukaran itu tidak masuk akal…. kerana (ada) kelompok ADUN
dan personaliti yang tidak senang dengan Mukhriz yang mungkin terjadi
atas pertelingkahan Tun Mahathir Mohamed dan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak," katanya.
Kenyataan yang dibuat di bangunan parlimen kelmarin sekaligus
menyerlahkan kedangkalan pengamatannya perihal politik dan satu
pemikiran yang amat tidak adil serta tidak ikhlas.
Ini kerana Johari bukan sahaja mempunyai pandangan negatif mengenai
krisis berkenaan tetapi cuba membuat perbandingan dengan “kecekapan dan
keelokkan” cara partinya, PKR, menangani isu yang sama dua tahun lalu di
Selangor.
Johari mungkin tidak sedar bahawa sebenarnya beliau “membuka pekong di
dada” dan natijah tindakannya itu boleh dibaca sebagai rakus dan tidak
sensitif betapa perilakunya cuba “membela dan menggilap” sejarah politik
partinya itu semakin memburukkan citra PKR yang tercemar dek strategi
bebal yang dipanggil Langkah Kajang.
Johari yang juga Ketua Whip PKR di parlimen menyatakan bahawa PKR
mempunyai alasan munasabah ketika itu untuk menukarkan Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
"Namun kita menukar MB secara demokratik dengan memberi alasan mengapa beliau harus undur,” katanya.
Mungkin cara demokratik yang beliau maksudkan ialah dengan ‘mengarahkan
wakil rakyat Kajang, Lee Chin Cheh supaya mengosongkan kerusi Dewan
Undangan Negerinya demi mengizinkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil.
Tujuannya apabila Anwar menang beliau akan mudah diserahkan jawatan Menteri Besar oleh Tan Sri Abdul Khalid.
PKR juga tak tertib pecat Khalid
Malang bagi Johari beliau gagal memperjelaskan apakah cara “bersih” dan
demokratik yang dilakukan oleh PKR untuk menurunkan Tan Sri Khalid dari
kerusi menteri besar.
Malah yang masyarakat boleh ingat ialah Tan Sri Khalid mencabar
pelbagai tuduhan yang dilemparkan dengan cara rasmi terhadap untuk
memaksa bekas tokoh korporat itu meletak jawatan dalam mahkamah.
Apabila tiba hari perbicaraan perundingan diadakan di antara PKR dengan
Khalid dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail
terpaksa memohon maaf dan menarik balik pelbagai tuduhan yang
dilemparkan PKR.
Adakah ini cara yang dikatakan tertib? Pertama ia menggoncang teras
demokrasi dengan mempermainkan mandat rakyat dan Adun boleh berhenti
bila-bila masa. Kedua, boleh melemparkan fitnah perlakuan jenayah
terhadap menteri besar sedia ada.
Perkara ini mendapat perhatian Sultan Selangor sendiri yang menegur:
"Kemelut dan pergolakan dalam PR (Pakatan Rakyat) ini bermula daripada
Langkah Kajang dan bermulalah usaha mereka untuk menyingkirkan Abdul
Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
"Dengan ini timbullah pelbagai hasutan dan tohmahan untuk memburukkan
Abdul Khalid. Perkara hasut menghasut dan melempar tohmahan-tohmahan
terhadap beliau berterusan walaupun semasa bulan suci Ramadan, di
mana umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal
yang diredhai oleh Allah untuk membersihkan dosa dan maksiat.
"Tetapi PKR tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan
Ramadan dengan terus menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam
niat mereka untuk menjatuhkan Abdul Khalid," titah baginda ketika itu.
Langkah PKR itu juga memporakperandakan Pakatan Rakyat sendiri.
Penyingkiran Khalid dicemari dengan pertengkaran terbuka di antara PKR,
PAS dan DAP yang menjadi faktor penyumbang kepada Pakatan Rakyat
berpecah belah beberapa bulan kemudian.
Motif Johari boleh dibaca sebagai cuba melakarkan gambaran moral yang
buruk terhadap pemimpin Umno Kedah kerana cuba mengaibkan Mukriz.
Umum tahu PKR amat memusuhi Dr Mahathir. Mengapa kali ini Johari seolah-olah mahu menabur simpati pada anak Mahathir?
Tidak sukar diduga bahawa Johari adalah ahli politik totok yang cuba
mengambil kesempatan dari kemelut politik dalaman Umno. Malah umum pun
tidak sukar mengklasifikasikan Johari sebagai cuba memanipulasi sejarah.
PKR pula seharusnya berasa malu mempunyai ahli politik yang tidak faham
sejarah dan akhirnya “menconteng arang” pada maruah dan reputasi parti
itu sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan