Ahad, 31 Januari 2016

Sejauh mana rakyat melihat Najib itu suci?



Oleh Amirrul Jeffery Igai


Sekiranya kita duduk bertapa di puncak Gunung Jerai mahupun menuntut ilmu batin di kawasan tempat jin bertendang - berapa banyak yang kita tahu tentang apa yang berlaku di Putrajaya?Maklumat yang kita terima mungkin agak terbatas dan terhad.Adakalanya maklumat yang sampai kepada kita seringkali dianggap karut-marut dan tidak benar.

Sedang saya berkhayal untuk menikah dengan bidadari - Sedang kalian lena tidur  dibuai mimpi beralaskan tikar mengkuang – sedang ibu bapa kita di kampung menoreh getah untuk mendapatkan sesuap nasi, sedang orang di pedalaman rumah panjang menjemur lada hitam untuk dijual bagi belanja anak di sekolah, sedang datuk dan nenek kita menyemai anak benih padi, sedang Ahmad sibuk melakukan 2 kerja, sedang jari-jemari Sharizat memerah susu lembu, sedang Ibrahim ligat melompat ke sana ke mari – projek untuk membersihkan imej Najib sedang berjalan.

Sama ada Hadi Awang berpadu-padu dengan Najib bertindak sebagai penasihatnya dalam projek pembersihan imej ini, itu saya tidak tahu.

Najib atau panggilan manjanya orang ramai – Mat Mongol akan dirakam sejarah negara sebagai perdana menteri yang paling bermasalah yang pernah menerajui Malaysia dan presiden yang akan membawa kehancuran dan malapetaka kepada parti Umno yang akan hampir pasti akan gulung tikar pada PRU-14 pada 2018 nanti.

Tiga juta ahli Umno yang terus membiarkan Najib bermaharajalela di singgahsananya di Putrajaya bertanggungjawab terhadap kerosakan politik, ekonomi dan sosial yang dialami negara saat ini – yang secara perlahan-lahan akan meletakkan maruah negara pada tahap paling rendah dan hina.

Kalau Najib bukan anak Tun Razak maka batang tubuh yang bernama Najib ini mempunyai tiada apa-apa.

Tentang kredibiliti, konsistensi, komitmen dan kemampuan Najib sebagai perdana menteri sudah lama terbarai.

Inilah masalahnya apabila kita percaya kepada mitos iaitu bapa borek anak rintik.

Atas sebab itu, 3 juta ahli Umno yang terus membiarkan Najib menari dan bertandak dengan ligat perlu faham akan duduk perkara.

Ini diburukkan dengan riwayat Najib yang mengikut surah mak cik felda sebagai takutkan bini.

Ada kalanya relevan, tetapi dalam perihal Najib untuk menjadi wira rakyat  adalah sesuatu yang  mustahil.

Semakin lama maharaja Najib berada di singgahsananya maka Umno menjadi semakin tenat dan mudarat.

Rasa menyampah, benci dan meluat rakyat jelata terhadap pemerintah yang diterajui Najib dan Umno semakin hari semakin menunjukkan perangai gila.

Cuba sekali sekala gerombolan pemimpin Umno menghantar perisik atau “spy” untuk mengintai perbualan di kalangan rakyat ke kedai kopi, kopitiam cina mahupun ke kedai mamak – memang akan terdengar perkataan Umno celaka, Umno tidak kenang budi, Umno kaki rasuah, Umno kaki minta derma, Umno kaki songlap duit, Umno kaki penipu dan bermacam lagi seribu satu kisah yang dijual ke sana sini.

Jika nasib anda baik, anda akan berjumpa dengan kisah anak badak yang menyuntik botox ke muka. Kalalu tak percaya, dipersilakan mengintai.

Dalam keadaan seperti ini barangkali bomoh dari Kerala pun tidak mampu menepis ombak kemarahan rakyat.

Biarpun  rakyat dikenakan nasi kangkang seperti BR1M, nisbah rakyat yang mengamuk terhadap Umno semakin meledak.

Hanya bayi yang belum lahir dan orang yang sudah meninggal dunia saja yang tidak pernah mendengar surah ini.

Selasa lalu - Apandi Ali mengumumkan Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung kes dana RM2.6 bilion dan peranannya dalam Kabinet meluluskan jaminan kerajaan untuk pinjaman sebanyak RM4 bilion kepada syarikat milik kementerian kewangan.

Akhirnya kes tersebut ditutup.

Ini bermakna cubaan untuk membersihkan imej Najib yang rebah tersungkur - buat sementara waktu ini berjalan dengan sempurna.

Tetapi di mata rakyat – semuanya diperlekehkan dan disambut dengan gelak ketawa.Seperti membaca cerita dongeng orang dulu kala.

Peguam negara yang akan cuba untuk dilantik sebagai pengarah di Tabung Haji dianggap sebagai pejuang dalam kemelut Najib dan 2.6 billionnya.

Dilantik sebagai pengarah di Tabung Haji bukan perkara jenayah.

Jenayah ialah makan harta rakyat dan menyamun berbillion duit rakyat tanpa bekerja dan keluar setitik peluh pun.

Derma 2.6 billion dianggap sudah beres.

Maka pada masa ini kita didedahkan dengan bekas komando polis Sirul Azhar Umar yang bersumpah Najib tidak terlibat atau ada kaitan dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Projek pembersihan imej ini akan berjalan berterusan cuma watak dan sedikit skrip saja yang berubah, dan kita akan disajikan dengan banyak perkara yang tidak masuk akal selepas ini.

Barangkali Sirul Azhar terus diangkat bagi memainkan peranan sebagai pak lawak.

Cukup masa, beliau akan dicampakkan ke Laut China Selatan.

Adalah benar jika beberapa dasar kerajaan yang dipimpin Najib nampak menyebelahi rakyat.

Definisi menyebelahi rakyat dalam konteks ini ialah apabila kepentingan para tauke beras, tauke lendir, tauke gula, tauke penjana kuasa bebas, tauke rokok dan tauke dari timur tangah yang menderma wang RM 2.6 bilion ke dalam akaun Najib diambil kira terlebih dulu.

Masyarakat Cina yang celik politik dan ekonomi lama menolak Umno dan Barisan Nasional(BN) sejak PRU Ke-12 dan 13 yang lalu.

Mereka beralih daripada menyokong MCA kepada DAP.

Tingkah laku alih beralih ini disebabkan dasar pemerintah Umno dan BN semakin tidak relevan terhadap perniagaan dan ekonomi mereka.

Cuma yang tinggal untuk menyokong MCA sekarang adalah gerombolan tauke besar dan kawannya.
Tidakah anda rasa bersyukur dengan apa yang kerajaan lakukan selama ini?

Pada saya soalan itu menjadi mengarut apabila corak pentadbiran kerajaan semakin hari semakin merapu.

Setiap tindakan kerajaan diperlekehkan.

Setiap dasar kerajaan diketawakan.

Setiap kenyataan kerajaan dibakulsampahkan.

Setiap polisi kerajaan dicampakkan.

Ini menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang dipimpin Najib  sudah lama mati.

Rakyat sudah tidak lagi percaya yang kerajaan yang sedia ada mampu membawa Malaysia kearah tranformasi politik, sosial dan ekonomi yang lebih gemilang.

Usaha rakyat untuk membawa Malaysia ke arah perubahan disabotaj sistem pilihan raya pada PRU-13 yang lalu dengan taktik yang sangat lucah.

Majoriti 52% mahukan Malaysia dengan roh yang baharu.

Tetapi digagalkan oleh lembaga kerajaan.

Dalam istilah lainnya, 52% majoriti rakyat yang mahukan perubahan ditipu hidup -hidup.

Tiada ulasan: