Ahad, 31 Januari 2016

Pergolakan politik Umno Kedah selesai?

MSO

Secara tektikalnya pergolakan politik Umno Kedah sudah hampir selesai apabila parti itu sudah menamakan MB baharu sebagai mengganti Mukhriz Mahathir. Usaha Mukhriz dan kuncu-kuncunya untuk mempertahankan diri nampaknya gagal. Pemerhati hanya menunggu pengumuman rasmi siapa MB baharu Kedah itu.

Sukar untuk ditentukan siapa MB baharu Kedah kerana ramai yang berkelayakan. Bagaimana pun pemilihan MB itu pasti dibuat terhadap orang yang tidak meneruskan kontroversi. Seorang calon yang boleh meredakan pergolakan itu dan diterima umum dinamakan. Umno Kedah perlu aman dan diamankan selepas ini sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum.

Mungkin orang itu bukan Ahmad Bashah Md Hanafiah, atau pun Ahmad Lebai Sudin. Kerana kedua nama ini sejak awal-awal lagi sudah diapungkan tetapi nilai mereka tidak berapa tinggi. Saham mereka tidak naik. Boleh jadi Exco paling kanan yang juga berkelulusan luar negeri yang akan bernasib baik? Ahmad Lebai Sudin boleh dilantik menjadi Exco.

Jadi apabila nama sudah dipilih, bermakna krisis politik sudah selesai, di satu pihak. Bagaimana pun dipihak Mukhriz ia masih berterusan dan dianggap perang politiknya baru bermula. Mungkin selepas ini ada gerakan tertentu demi membela Mukhriz. Biasalah, kata orang peringkat awal begitulah. Tetapi apabila selesai nanti semuanya reda. Seperti keriuhan semasa kenduri, kedengaran segala macam, piring pecah, gelas jatuh atau pinggan retak atau gayung patah.

Tetapi selepas kenduri apabila semua perkakas disimpan semuanya kembali kepada asal. Yang pecah diganti yang retak ditampung dan yang patah juga diganti.

Mukriz boleh bertindak untuk membela dirinya. Beliau boleh memanggil dan menghimpun para penyokongnya. Namun sejauh mana sangat mereka akan bersama? Untuk beberapa hari mungkin boleh tetapi bukan untuk berbulan. Untuk berlama ia memerlukan energi. Mukhriz bukan tokoh besar atau hebat yang dapat mengarcakan auranya sendiri. Dia hanya anak kepada bekas PM. Itu sahaja.

Persatuan pelajar Sains Mara (Ansara) tidak cukup ampuh untuk menjadi benteng dan kubu mengangkatnya.

Tindakan paling baik bagi Mukhriz ialah mendiamkan diri dan membina kekuatannya dalam Umno. Beliau harus meletakkan dirinya sebagai tokoh penting dalam Umno. Itu pun kalau Umno tidak memecatnya. Dan kalau Umno memecatnya, maka jalan lain harus dicari jika beliau ingin terus bermain politik dan survive dalam politik.

Saya tidak berminat untuk memperkatakan tentang Mukhriz lagi, tetapi akan cuba menyuluh tindakan Najib Razak menyusun semula partinya, khasnya pelantikan Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan Umno yang baharu. Pelantikan Annuar itu tentu ada signifikan tersendiri. InysAllah akan disorot malam ini atau esok.

Tiada ulasan: