Oleh Muammar Qaddafi
Nasib Datuk Seri Mukhriz Mahathir sudah pun ditentukan, beliau bakal kehilangan kerusi menteri besar Kedah bila-bila masa saja. Hanya persoalan bila saja yang masih menjadi tanda tanya.
Persoalan lambat atau cepat ini bergantung pada Istana dan tekanan rakyat Kedah. Jika tekanan kuat daripada 2 kumpulan ini maka mahu tidak mahu Datuk Seri Najib Razak perlu mengekalkan Mukhriz untuk satu tempoh lagi. Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno petang semalam juga dipercayai membincangkan tentang masa depan Mukhriz.
Namun begitu, rezeki Ahmad Bashah Md Hanipah,watak utama dari Kedah yang begitu agresif menyerang kepimpinan Mukhriz pun dikatakan tidak begitu baik apabila Berita Harian melaporkan 3 nama yang dihantar ke Istana bagi menggantikan Mukhriz tidak termasuk nama Bashah.
Sekarang kita hampir nampak permainan dalang utama krisis ini, sikap Bashah terhadap Mukhriz akan menyebabkan rakyat Kedah meluat dan menolak Bashah yang kononnya bakal menggantikan Mukhriz namun apabila nama lain yang dicadangkan, persepsi rakyat akan sedikit dikelirukan kemudian mereka akan lebih lega kerana bukan Bashah yang akan mengambil alih kepimpinan.
Maka penentangan awal terhadap pengambilalihan ini akan berkurangan dan kerosakan dapat sedikit sebanyak dikurangkan.
Pada masa yang sama, The Malaysian Insider melaporkan Pemuda PAS yakin dapat menawan Kedah walaupun krisis menteri besar Kedah tidak berlaku kerana pertambahan ahli baru PAS di negeri Jelapang Padi itu.
Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya mendakwa PAS mampu bersaing melalui ahli baharu seterusnya peluang untuk merampas kembali Kedah yang mereka hilang pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu sangat cerah.
Namun begitu, daripada sumber lain dikhabarkan ahli PAS sedia ada Kedah hari ini dikatakan semakin kecewa dengan PAS berdasarkan 2 faktor iaitu hubungan baik PAS - Umno dan hubungan akrab PAS - Perkasa.
Sudah tidak menjadi rahsia PAS kini lebih rapat dengan Umno berbanding zaman kepimpinan Datuk Fadzil Noor dan allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat menjadi mursidul am, bahkan hubungan dengan Perkasa dengan adegan peluk menimbulkan rasa gelisah penyokong PAS Kedah yang dulunya mendapat pendidikan politik secara langsung oleh allahyarham Fadzil yang berasal dari negeri itu.
Isu memali yang begitu dekat di hati rakyat Kedah juga membuatkan mereka tidak dapat menerima hubungan baik PAS - Umno apatah lagi pentadbiran Najib hari ini begitu menindas rakyat.
Namun begitu kita percaya jika PAS dan Umno bersatu dan menjalin kerjasama politik, survival politik mereka mungkin boleh dilanjutkan apabila masing-masing boleh melengkapkan satu sama lain dari sudut memainkan isu perkauman dan keagamaan untuk mendapatkan undi orang Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan