Ahad, 31 Januari 2016

Negara perlu menteri bijak, bukan bahan jenaka

MALAYSIAKINI


 


Tunku Mahkota Johor berkata, langkah terpenting untuk kerajaan menambah baik sistem dalam negara ini adalah mengetepikan beberapa menteri yang menjadi "bahan jenaka".

Katanya, Malaysia perlukan "menteri bijak" yang boleh berkhidmat kepada rakyat dan bukan menampung poket sendiri.

Kenyataan Tengku Ismail Sultan Ibrahim itu dibuat ketika ada beberapa pihak didakwa "sedaya upaya untuk mendiamkan" beliau.

"Saya amat menjaga kebajikan rakyat Johor dan juga rakyat Malaysia lain.

"Terdapat beberapa pihak yang cuba sedaya upaya untuk mendiamkan saya. Tetapi berada di kedudukan saya, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyuarakan pendapat ikhlas saya untuk kebaikan negeri tercinta dan juga negara," katanya dalam kenyataan disiarkan di Facebook.

Bagaimanapun Tengku Ismail tidak menamakan siapakah menteri yang dimaksudkan, atau pihak yang cuba mendiamkan beliau.

Kenyataan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan langkah pengubahsuaian belanjawan 2016 ekoran kesan kejatuhan harga minyak dunia serta kemerosotan nilai ringgit.

Ada bahagian masih lemah
Katanya, apabila ada isu politik diperkatakan, ia bukan untuk beliau atau bersifat peribadi sebaliknya dilakukan demi rakyat.

Menurut Tengku Ismail beliau kini amat mengambil berat tentang keadaan politik di negara ini.

Rakyat juga, katanya, perlu turut serta untuk menjadikan negara ini tempat yang lebih baik untuk generasi akan datang.

"Apabila saya menyuarakan pendapat, ia tidak bertujuan mencetuskan ketegangan dengan kerajaan Persekutuan tetapi dengan niat untuk bekerja bersama-sama menjadikan negara ini tempat yang lebih baik.

"Saya bukan seorang ahli politik dan saya tidak perlukan sebarang undi.

"Saya hanya seorang putera yang sayangkan rakyat dan apa yang saya katakan atau lakukan, adalah untuk kesejahteraan mereka.

"Dengan rendah diri, saya ingin memberi nasihat untuk kerajaan, langkah pertama dalam usaha menambah baik sistem adalah dengan mengeluarkan beberapa menteri yang dianggap sebagai bahan jenaka," katanya.

Tengku Ismail juga berjanji untuk terus bersuara untuk "memperbaiki bahagian-bahagian tertentu yang masih lemah" demi kepentingan rakyat.

"Ia adalah tugas dan tanggungjawab saya sebagai Tunku Mahkota (Johor) untuk berkhidmat kepada rakyat Johor," katanya.


Tiada ulasan: