Sabtu, 30 Januari 2016

Bimbang dengan simpanan, pendeposit gesa Tabung Haji lebih telus



Tabung Haji diminta menjelaskan segera amaran Bank Negara Malaysia mengenai rizab negatif. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Januari, 2016.Tabung Haji diminta menjelaskan segera amaran Bank Negara Malaysia mengenai rizab negatif. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Kontroversi demi kontroversi melibatkan Lembaga Tabung Haji menyebabkan rata-rata pendeposit bimbang wang mereka akan terjejas dan mempertimbangkan menutup akaun.

Secara generalnya, mereka mahu Tabung Haji lebih telus dalam urusan mereka dan kembali kepada tujuan asal iaitu untuk mempermudahkan umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah haji.
Ibadah haji merupakan rukun Islam yang ke-5.

Ramai juga menyifatkan Tabung Haji berselindung di sebalik maklumat sebenar dan turut menuntut agar amaran Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai rizab negatif diperjelaskan dengan segera. 
 
 "Saya letak duit dalam Tabung haji sebab memang untuk dapatkan keuntungan dividen. Dan melalui mereka, sudah sedia bayar untuk zakat, jadi saya tidak perlu bimbang.

"Duit itu juga saya gunakan untuk kecemasan selain menyimpan untuk persediaan membuat haji pada masa depan.

“Tetapi bila ada krisis seperti ini, kita risau duit akan terjejas," kata Jurutera Teknikal Swasta Ida Haryani Khairi, 31, yang sudah menyimpan duit dengan lembaga itu sejak kecil.

"Saya risau juga nanti bila saya hendak keluarkan wang, duit tiada. Saya ada pertimbangan sama ada hendak keluarkan wang saya tapi masih belum buat keputusan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu Ikhwan Hafiz, 30, yang juga merupakan seorang jurutera bimbang pengeluaran deposit besar-besaran akan beri kesan pada pelaburan untuk menunaikan haji.

"Saya simpan ini memang untuk pergi haji.

“Jika pendeposit yang hanya simpan untuk dapat nilai dividen dan bonus ini keluarkan pelaburan mereka, ia beri kesan besar pada Tabung Haji seterusnya kesan buruk pada bakal haji.

"Saya berharap Tabung Haji mengkaji semula pelaburan mereka dan kajian pengurusan risiko yang telus perlu dilakukan bagi mengembalikan ke matlamat asal yakni pengurusan haji untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Bagi Siti Hazwani Ramli, 29, beliau lebih bimbang dengan kedudukan kewangan Tabung Haji selepas tersebar surat daripada BNM.

"Sekiranya berita ini benar, jelaskan kenapa keadaan kewangan Tabung Haji merosot sejak kebelakangan ini dan mengapa pihak Bank Negara Malaysia perlu campur tangan?

Tidakkah itu menunjukkan Tabung Haji mengalami krisis kewangan?

"Sebagai pendeposit tetap bulanan dalam akaun Tabung Haji saya harus berterima kasih kepada mereka yang berani tampil menyiarkan surat-surat itu, kerana saya percaya niat mereka supaya isu ini mendapat perhatian sewajarnya dan perlu disiasat kebenarannya," katanya yang bekerja sebagai pegawai sumber manusia.

Beliau menambah, sudah menjadi kelaziman Tabung Haji akan mengumumkan pembayaran bonus pada suku pertama setiap tahun (Januari-Mac).

Manakala penyelia alat ganti, Ahmad Hassan, 55, kecewa dengan perkembangan terbaru Tabung Haji dan mengharapkan ia diselesaikan dengan segera.

"Kalau rekod tabung haji teruk sekalipun, memang syarat nak ke haji mesti melalui Tabung Haji.

“Saya kecewa, kita ini menyimpan kerana keyakinan kita tinggi dan ia merupakan satu lembaga yang patuh syariah.

"Jadi bila terdapat ketirisan dalam pentadbiran yang melibatkan harta benda kita, kita bimbang dan kecewalah.

“Saya rasa kerajaan tak berterus terang tapi kita nak menolak sepenuhnya pun tak boleh ke Tabung Haji ni,” katanya.

Pada 26 Januari lalu, Tabung Haji mengesahkan BNM memberi amaran menerusi surat berhubung rizab negatif mereka.

Meskipun begitu Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail memberi jaminan kepada pendeposit, simpanan mereka selamat dan penyimpan wang jemaah haji itu tidak berdepan masalah kewangan.

Katanya, penilaian BNM tidak mengambil kira akaun portfolio pelaburan seperti saham anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta aset perladangan dan hartanah yang diduduki mereka.

Manakala Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengatakan pihaknya akan membayar dividen dan bonus selewat-lewatnya pada Mac.


1 ulasan:

Unknown berkata...

Saya salah seorang pendeposit yang menyimpan untuk dapatkan
dividen dan bonos untuk masa tua kerana ASBA cuma boleh
simpan rm200 ribu. Jadi, saya simpan diTH hasil jualan
rumah saya di KL. Nampak gayanya, kenalah saya keluarkan
duit saya kerana tidak mahu duit itu nanti bertukar jadi
DERMA PAK ARAB.