FILEM Ola Bola arahan Chiu Keng Guang ditonton tanpa sengaja malam tadi gara-gara penulis membawa dua anak buah ke panggung wayang.
Tanpa langsung mengetahui latar belakang cerita, kami masuk ke panggung dan penulis agak terkejut kerana sebahagian tempat duduk dipenuhi pelbagai kaum malah ada yang datang satu keluarga.
Ini pertama kali penulis melihat suasana ini untuk sebuah filem tempatan.
Sempat berborak dengan ‘jiran’ sebelah seorang wanita berbangsa Cina yang datang bersama keluarga besarnya, dia memberitahu mereka datang untuk menonton cerita ‘bola kita’.
‘Semua ada dalam cerita ini. Saya mahu kasi anak tengok. Bapa juga mahu tengok. Filem pengarah ini pun bagus-bagus sebelum ini,” katanya.
Tanpa disedari, kami turut bersama penonton lain menjerit ketika penjaga gol, Muthu berjaya menyelamatkan sepakan penalti dari pemain Korea Selatan.
Mungkin itulah semangat yang berjaya diserapkan oleh pengarah melalui buah tangannya kali ini.
Tidak berlebihan jika dikatakan bahawa melalui filem ini, kita dapat kembali menyemarakkan semangat kekitaan yang mungkin kian pudar dalam kalangan masyarakat hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Ola Bola taruhan terbaru pengarah The Journey]
Sentuhan kekeluargaan dan sedikit komedi ringan dalam filem ini turut menjadi elemen yang menghidupkan jalan cerita hingga membuatkan penonton-penonton cilik turut ketawa sama.
Di tengah-tengah cerita, anak buah yang seorang bertanya sama ada pasukan bola sepak kebangsaan hari ini menjalani latihan ketenteraan seperti dalam Ola Bola. Maaf, tiada jawapan setakat ini.
Apa yang turut menarik, legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun atau dikenali sebagai Tauke turut dibawa ke set untuk babak di studio bersama wartawan, Marianne.
Setelah tayangan berakhir, lampu dinyalakan, terdengar beberapa perbualan yang rata-rata berpuas hati dengan filem itu termasuk kanak-kanak yang begitu seronok hingga ada yang menjerit ‘best!’.
Selain Bront Palarae (Rahman) dan JC Chee (Chow Kok Keong atau Tauke), Ola Bola menampilkan muka baharu untuk watak utama seperti Muhd Luqman Hafidz (sebagai Ali) dan Saran Kumar sebagai (Muthu).
Penulis sempat mencari kenyataan-kenyataan pengarahnya yang disiarkan media sebelum filem ini menemui penonton di pawagam.
Ada satu kata-kata Keng Guan yang menarik perhatian, ‘apa pun, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini pada 28 Januari 2016 kerana ia khusus untuk rakyat Malaysia’.
Jika penulis belum menonton, mungkin penulis tidak akan percaya namun seperti kata-kata di atas, filem ini memang untuk kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan