Jumaat, 29 Januari 2016

Salih Yaakob cerai isteri kedua

 
Salih memujuk bekas isterinya tetapi tidak berjaya dan penceraian adalah jalan terakhir untuk kebaikan semua pihak. 


Salih-Yaakob_cerai


PETALING JAYA: Selebriti Salih Yaakob yang mempunyai empat isteri, mendedahkan beliau telahpun menceraikan isteri keduanya, Nor Raha Hamad, selepas sambutan Aidilfitri tahun lalu.

Sebuah portal hiburan melaporkan, Salih telah memujuk isterinya tetapi tidak berjaya dan penceraian adalah jalan terakhir untuk kebaikan semua pihak.

“Sebagai suami dan ketua rumah tangga saya sudah berusaha memperbaiki keadaan. Saya memujuk dan mengingatkannya yang anak sudah besar dan dia sepatutnya menunjukkan contoh serta teladan yang baik kepada mereka.

“Namun dia tetap mendesak saya untuk menceraikannya dengan menggunakan alasan saya tidak berlaku adil terhadapnya. Saya sudah menasihatinya, tetapi dia enggan terima dan terus mendesak saya melepaskannya. Lebih baik saya turutkan saja kemahuannya daripada keadaan menjadi semakin buruk,” kata Salih.

Penyampai radio di Sinar FM itu mengakui, penceraian mereka berpunca daripada orang ketiga selepas bekas isterinya itu menghadiri perjumpaan semula rakan sekolah.

“Kalau hatinya sudah tertutup untuk saya, tidak perlulah dipaksa-paksa lagi. Apabila perkara ini terjadi, saya anggap hanya setakat itu jodoh kami. Tidak perlulah terus menyalahkan antara satu sama lain. Saya harap dia bahagia dengan jalan baru yang dipilihnya dan apa yang penting anak-anak dapat menerima apa yang berlaku,” katanya.

Salih dan bekas isterinya itu telah mendirikan rumah tangga selama 23 tahun dan dikurniakan lima anak berusia 22 hingga 13 tahun dan seorang cucu.

Sementara itu, tiga lagi isterinya iaitu Norlizah Mamat, 51, Norfara Wahida Sulaiman, 37, dan Samihah Syeikh Ali, 29, masih kekal bersamanya dan daripada keempat-empat perkahwinannya, Salih dikurniakan 13 anak.

Tiada ulasan: