Apabila Zaharudin Muhammad memuat naik gambarnya duduk bersendirian di sebelah bangku kosong yang di depannya bertanda nama Husam Musa, kita faham perseteruan antara kedua-duanya belum padam.
Biarlah Zaharudin berkata bahawa tulisan di Facebook itu adalah yang terakhir dan tidak akan melayan Husam, namun bahasa – termasuk bahasa badan – yang digunakan ternyata membayangkan kebencian menantu Presiden PAS kepada bekas naib presiden PAS.
Kebencian itu seolah-olah tidak akan padam. Di pihak Husam pula, nampaknya dia tidak boleh berbuat apa-apa. Barangkali sudah rezeki dia dimusuhi dua menantu orang besar dalam PAS.
Detik kejatuhan Husam bukan bermula ketika dia dikatakan diarah untuk dicantas bersama gerombolan pimpinan progresif PAS dalam muktamar Jun lalu.
Kalau sebatang pokok boleh dijadikan analogi, kulit di sekeliling Husam dikikis perlahan-lahan hingga ke terasnya sejak isu menantu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dulu muncul.
Ketika itupun bukan Husam saja yang dicantas. Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan Anual Bakri Haron tentu faham benar kedudukan politik dalaman kompleks Kota Darul Naim ketika itu.
Sebenarnya tiada yang unik dengan gambar Zaharudin dengan kerusi kosong Husam itu. Ia memang gimik yang biasa PAS buat selama ini. Tidak pasti sama ada Husam sendiri pernah terbabit dalam insden begitu, tetapi PAS memang selalu.
Ketika ada apa-apa isu politik, PAS akan mencabar lawannya – ketika itu, Umno – untuk berdebat. Pilih tarikh, tempat dan masa yang difikirkan sesuai dan ajak wakil parti lawan datang berdebat.
Pada tarikh, tempat dan masa yang ditetapkan, biasanya tiada sesiapa dari parti yang dijemput itu akan hadir. Maka yang berlangsung ketika itu adalah siri syarahan politik sepihak.
Zaharudin sekadar melanjutkan kelaziman cabaran debat murahan PAS selama ini. Atau dalam bahasa yang lain, dia mungkin belajar daripada abang-abangnya dalam PAS selepas dia sendiri kini menjadi orang besar PAS.
Lucunya amalan debat yang diuar-uarkan PAS itu malah tidak subur dalam PAS. Ketika orang ramai berharap Husam berdebat – atau berdialog – dengan Mustafa Ali, tiba-tiba Datuk Takiyudin Hassan tampil memberikan arahan selaku setiausaha agung parti.
Ia kira-kira sama dengan hangatnya bahang debat antara Tony Pua dengan Arul Kanda Kandasamy.
Tony Pua adalah ahli parlimen Petaling Jaya Utara, manakala Arul Kanda adalah presiden 1MDB yang menjadi sasaran kritikan ramai, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berbeza daripada cerita Zaharudin dan Husam, antara Pua dan Arul Kanda ada cabar-mencabar berlaku.
Seolah-olah debat itu hampir sangat akan terjadi – sehinggalah keluar ketetapan Speaker Dewan Rakyat yang memberi hukum larangan.
Gagal satu lagi debat yang dinanti-nanti.
Kemudian kita mungkin boleh teringat kepada sesi Nothing To Hide yang juga sangat hampir kepada sesi debat, atau sekurang-kurangnya dialog.
Ia berakhir dengan arahan polis supaya majlis itu dibubarkan.
Ingat debat antara PAS-Umno pada 1980-an dulu? Selepas Umno berlatih sesama sendiri sebagai persediaan menghadapi PAS, keluar arahan supaya ia dibatalkan tidak lama sebelum tarikh sebenar dipersetujui.
Apakah moral daripada satu demi satu insiden "gagal" ini?
Ia membawa mesej bahawa kita sebenarnya kelihatan takut kepada kebenaran. Siapa yang benar antara Zaharudin dan Husam, Mustafa dan Husam, Pua dan Arul Kanda?
Malah dalam keadaan tertentu, ketakutan itu kelihatan melampau.
PAS yang selama ini menjenamakan partinya sebagai pertubuhan yang matang dan terbuka, rupa-rupanya tertutup apabila ia membabitkan isu dalaman sendiri.
Seboleh mungkin bau hanyir bangkai itu mahu diselimutkan agar tidak terhidu ke luar rumah walaupun tengiknya disedari seluruh kampung.
Kita masih jauh daripada politik matang. Pada masa sama kita masih akrab kepada sindrom penafian. Wayang politik dimainkan di mana-mana saja dan oleh sesiapa saja yang merelakan dirinya menjadi haiwan politik.
Hak rakyat untuk mengetahui hakikat dan fakta sebenar menjadi perkara kedua atau ketiga. Keutamaan parti dan orang politik adalah mengekalkan imej masing-masing sebagai bersih daripada masalah.
Orang politik adalah orang politik. Mereka boleh berseteru atau bertegang urat leher di mata umum tetapi mampu bertepuk tampar ketika bertemu di kedai minum atau kantin parlimen.
Tanpa disedari – atau sengaja enggan disedari – yang menanggung bala bencana daripada perseteruan itu adalah rakyat terbanyak di peringkat akar umbi. Penyokong Husam misalnya, mungkin tidak akan rela bermanis muka dengan orang yang menadah kitab kuliah Zaharudin.
Pengagum tegar Nasrudin Hassan mungkin akan berhujah dengan ayat al-Quran untuk menghalalkan rasa marah mereka menyalahkan anak murid Ahmad Awang.
Dan pada hampir setiap masa kita mengeluh kerana keadaan menjadi kian keruh dan kebenaran masih belum muncul.
AL-ABROR MOHD YUSUF anggota sidang redaksi Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan