Khamis, 26 November 2015

Media dibenar buat liputan Perhimpunan Agung Umno

SINAR HARIAN


Tengku Adnan Tengku Mansor


KUALA LUMPUR - Umno hari ini memutuskan tiada sekatan kepada pengamal media untuk membuat liputan pada Perhimpunan Agung Umno 2015 yang akan berlangsung awal bulan depan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara itu dimuktamadkan setelah mendapat maklum balas daripada suara akar umbi yang mahu perhimpunan itu disiarkan secara langsung.

"Kita terima banyak maklum balas di seluruh negara. Kita dengar pendapat mereka dan buat keputusan untuk benarkan media membuat liputan seperti biasa.

"Kita akan benarkan media buat liputan kerana kita sedar parti kita, parti tulang belakang kepada kerajaan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Tengku Adnan mengumumkan Perhimpunan Agung Umno tahun ini akan berlangsung secara tertutup tanpa liputan terbuka kepada media bagi mengelak ia diputarbelitkan oleh pihak tertentu yang menimbulkan kekeliruan banyak pihak, khususnya dalam kalangan pengamal media.

Bagaimanapun, semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu belum diputuskan kerana tidak dibawa kepada Majlis Tertinggi Umno.

Mengenai ucapan penggulungan oleh Timbalan Presiden seperti kelaziman pada perhimpunan agung itu, Tengku Adnan berkata ia masih belum diputuskan sama ada dilakukan atau tidak.

Secara tradisinya, sebelum proses penggulungan persidangan oleh presiden parti, barisan ketua-ketua sayap, naib presiden dan timbalan presiden akan dibenarkan berucap pada sesi penggulungan itu. 

Bagaimanapun, beliau berpandangan proses penggulungan sudah cukup dengan ucapan presiden sahaja.

"Sebenarnya penggulungan presiden berucap seorang dah cukup dah, pada pandangan saya, kerana presiden boleh diamanahkan untuk menggulungkan kesemuanya, tidak perlu yang lain," katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2015 dijadual berlangsung pada 8 hingga 12 Disember.

Tahun ini juga akan menyaksikan buat julung kali Timbalan Presiden Umno tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri.

Berhubung isu pemecatan Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman daripada keahlian dan jawatannya, Tengku Adnan mendakwa keputusan itu dibuat ekoran Hamidah didapati hadir di pentas pembangkang.

"Kita dapat maklum balas bahawa dia duduk di pentas pembangkang, dan apabila ahli parti duduk di pentas pembangkang kita kena ambil tindakan.

"Dia boleh rayu kalau nak rayu, walaupun kita sudah pecat dia, dia tetap  boleh rayu," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: