REMBAU – Seorang isteri terkejut apabila terlihat suaminya, Anuar Haron, 27, tergantung di alang rumah sebaik meninjau ke dalam rumah melalui tingkap hadapan rumah mereka di Kampung Orang Asli Ulu Chembong, di sini, semalam.
Sinar Harian difahamkan, dalam kejadian berkenaan, isteri mangsa, Are Syakdan, 25, dan tiga anak berusia setahun sembilan bulan hingga 9 tahun bermalam di rumah saudara mereka yang terletak selang beberapa rumah sahaja.
Menurut Tok Batin Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Lebat Johor, dia didatangi isteri mangsa ketika berhenti minum di sebuah kedai berhampiran setelah pulang dari kebun lebih kurang jam 9.25 pagi.
“Are bagi tahu nampak suaminya tergantung bila tinjau dari tingkap. Saya terkejut sebab belum pernah lagi berlaku kejadian sebegini sejak kampung ini dibuka hampir 80 tahun lalu.. saya terus ke rumah mangsa.
“Saya cuba buka pintu tetapi dikunci dari dalam. Jadi saya hanya dapat tinjau dari tingkap depan rumah dan nampak mangsa tergantung dengan tali terjerut di lehernya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Lebat berkata, sejak dari malam semalam (kelmarin) kedengaran bunyi muzik yang agak kuat dipasang dari rumah mangsa.
“Memang Anuar sering buka lagu kuat-kuat dan saya dah biasa dengan bunyi ni.. cuma saya tak sangka dia akan buat seperti ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan