ALOR SETAR - Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah memutuskan hukum menghisap rokok elektrik (vape) dan shisha stick adalah haram.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, hukum berkenaan diputuskan melalui hasil Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 23 November lalu.
“Sejak kebelakangan ini, fenomena baru dalam industri rokok iaitu menghisap rokok menggunakan kaedah elektronik atau lebih dikenali sebagai vape diperkenalkan.
“Namun, rokok berkenaan dipercayai mengandungi bahan kimia tertentu antaranya nikotin, sebatian organik berwap (VOC) dan karsinogen,” katanya.
Syeikh Muhamad Baderudin berkata, terdapat juga bahan kimia yang menghasilkan bau dan perasa buah-buahan dimasukkan ke dalam rokok elektronik berkenaan.
Menurutnya, ada produk cecair vape tertentu pula dilaporkan mengandungi dadah, polycyclic aromatic hidrokarbon dan sebatian fenolik.
[ARTIKEL BERKAITAN: Vape alternatif terbaik atasi ketagihan rokok?]
Bagi shisha stick pula katanya, tabiat menghisapnya dikhuatiri sukar untuk ditegah terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.
“Berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan, bahan tertentu seperti propilena glikol, gliserin sayuran dan perasa dalam bentuk cecair didapati terkandung dalam shisha stick.
“Sesetengah produk berkenaan didakwa mampu menyebabkan penyakit berkaitan jantung dan kanser.
Justeru, menghisap vape dan shisha stick disifatkan haram kerana aktiviti tidak sihat berkenaan akan menyebabkan kemudaratan dan pembaziran kepada umat Islam,” katanya.
Katanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah turut bersetuju mengekalkan keputusan mesyuarat 13 Januari 1996 mengenai pengharaman merokok disebabkan ia memudaratkan dan membazirkan.
“Semua pihak dilarang menghisap rokok elektrik berkenaan ataupun shisha stick,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan