KUALA LUMPUR: Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia
Development Bhd (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi perlu hadir
semula ke prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Isnin
depan.
Shahrol yang disoal selama lebih empat jam perlu memberi maklumat
lanjut kepada PAC sebelum penggantinya, Arul Kanda Kandasamy tampil
sebagai saksi di hadapan jawatankuasa Parlimen itu pada hari berikutnya.
"PAC mendengar keterangan Shahrol Azral mengenai kawalan tadbir urus
1MDB bermula daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) 2009
sehingga kepada penubuhan 1MDB secara rasmi pada September 2009.
"PAC juga mendengar keterangan Shahrol Azral berhubung penubuhan
syarikat usahasama 1MDB-Petrosaudi," kata Pengerusi PAC, Datuk Hasan
Arifin menerusi kenyataan pada Rabu.
Kenyataan itu dibuat selepas prosiding PAC berhubung isu 1MDB di Parlimen.
Turut hadir pada prosiding itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha
Perbendaharaan (Pelaburan), Datuk Dr Mohd Isa Mohd Hussain yang mewakili
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar dan Ketua
Perundangan 1MDB, Ivan Chen.
PAC juga akan memanggil bekas CEO 1MDB dari April 2013 hingga Disember
2014, Hazeem Abdul Rahman pada 14 Disember depan; bekas Pengerusi
Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh serta bekas Ahli
Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Azlan Zainol pada 15 Disember dan
Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat itu, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.
Prosiding pertama membabitkan syarikat itu telah diadakan pada 19 Mei
lepas manakala prosiding kedua pada 10 Jun dan ketiga pada 17 Jun lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan