Ahad, 29 November 2015

Umno dah jadi parti bisu, tanya Dr M


Tun Dr Mahathir Mohamad
Mahathir Mohamad


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan Umno sebagai parti bisu apabila ketua-ketua bahagiannya tidak bersuara terhadap kepincangan kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, ketua bahagian sepatutnya bangkit menyuarakan hasrat akar umbi bukannya diam membisu seperti sekarang.

“Kita dapati sekarang ini ketua-ketua bahagian semua sudah menjadi bisu. Orang bisu tak boleh cakap tapi orang yang boleh bercakap, cakaplah. Itulah ketua bahagian.

“Ini ahli tak boleh bercakap...orang ini tak boleh bercakap, orang itu tak boleh bercakap. Ini apa? Demokrasi apa?,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas soal kebangkitan cawangan-cawangan Umno baru-baru ini yang mendesak Najib meletakkan jawatan dalam parti, beliau berkata, suasana itu wujud kerana pengurusan Umno sudah tidak lagi berfungsi dengan sewajarnya.

“Umno ini jadi (parti) Umno kerana ada ahli tetapi untuk pengurusan kita susun Umno dalam bahagian-bahagian dan cawangan tetapi apabila pengurusan ini sudah tidak bergerak sebagai badan yang akan mewakili suara ahli, maka pihak lain akan berhak dan memang berhak untuk menyuarakan,” katanya.

Terbaharu, 34 ketua cawangan Umno dari lima negeri mendesak secara terbuka agar Najib meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno.

Sebelumnya 10 cawangan Umno Sepang dan 13 ketua cawangan Umno sekitar Telok Kemang turut membuat desakan sama.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, meskipun wujudnya krisis yang melanda ketika zaman pemerintahannya namun tiada mana-mana ahli Umno yang dilarang daripada bercakap.

“Ada orang nak bertanding dengan saya pun boleh dan tak ada siapa yang dilarang berkempen.

“Ini saya tak boleh berjumpa dengan ahli Umno, menteri Umno, orang umno...saya ahli Umno, (tapi) bekas presidenlah,” katanya.


Tiada ulasan: