Ahad, 29 November 2015

KEADILAN tekad teruskan perjuangan Reformasi

Oleh Ermizi Muhamad


SHAH ALAM : Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, idealisme perjuangan KEADILAN mesti diteruskan sebagai komitmen bagi membentuk Malaysia yang lebih baik pada masa akan datang.

Beliau menyeru seluruh pimpinan dan anggota parti berpegang kepada prinsip lebih adil supaya tidak terus dicengkam pentadbiran Umno Barisan Nasional (BN).

KongresTegas Wan Azizah, semua anggota perlu mengambil teras perjuangan daripada tokoh pejuang bangsa yang terus mempertahankan negara daripada anasir luar.

Antaranya, Dato Bahaman, Mat Kilau, Buhranuddin Helmi, Pendita Zaaba, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan lain-lain.

“Sebagai parti yang mewarisi idealisme perjuangan, Reformasi untuk membina Malaysia yang lebih baik, makmur sejahtera dan lebih saksama adalah intipati patriot negara.

“Justeru tokoh perjuangan inilah yang perlu diambil kira agar kebebasan negara ini dapat dikekalkan daripada penjajah.

“Ini tanggungjawab islah dan tuntutan satu perubahan daripada penjajah kerana kita tidak mahu dijajah oleh bangsa kita sendiri,” ujarnya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan ke-11 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam pagi ini.

Wan Azizah turut mengingatkan seluruh anggota menggandakan usaha bagi menuju intipati Reformasi melalui Pendekatan Baharu Penstrukturan Sosio Ekonomi sebagai jaminan negara yang lebih inklusif.
Wawi
Menurutnya, ia seiring sebagai keperluan agenda reformasi yang merangkumi semua prinsip dan dasar-dasar yang ditekan parti sebelum ini seperti Deklarasi Permatang Pauh, Agenda Ekonomi Malaysia, dan 18 Tujuan dan Matlamat Perjuangan berpandukan Perlembagaan.

“Ia akan menjadi dasar yang akan memandu, serta memacu perjuangan kita dengan lebih berkesan, lebih tertumpu dan menjadi kayu ukur pencapaian kita.

“Malah, pembentukan iltizam kita untuk menyandarkan penyatuan ini berasaskan prinsip kemanusiaan, mendaulatkan kuasa rakyat dalam mengekang penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” tegas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi.

Kongres kali ini turut dihadiri pimpinan Pakatan Harapan diwakili Datuk Takiyuddin Hassan dari PAS, Datuk Husam Musa (Amanah) dan DAP oleh Teresa Kok.

Lebih 1,530 perwakilan daripada 218 Cabang di seluruh negara hadir, serta 500 pemerhati daripada pelbagai pertubuhan, selain beberapa wakil kedutaan dari Amerika, Australia, Bosnia, Jepun, Norway dan Nigeria.

Tiada ulasan: