SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali mendakwa terdapat rakan-rakan sekutunya yang menyinggung perasaan PKR.
Azmin menegaskan PKR bukan sebuah parti yang dikawal atau dicorakkan oleh parti lain.
"Ada juga rakan-rakan yang menyinggung perasaan kita.
"Ini parti kita, ini kongres kita. Kita ada presiden dan majlis
pimpinan jadi kita yang menentukan masa depan parti kita bukan orang
lain yang cuba mencorakkan masa depan Parti Keadilan Rakyat," katanya di
dalam Ucapan Penggulungan Kongres Nasional Tahunan ke-11.
Hubungan PKR dengan DAP semakin keruh selepas Lim Guan Eng menuntut
parti itu mengambil tindakan terhadap lima ADUNnya yang menyokong usul
ADUN Pulau Betong dari Barisan Nasional (BN).
Lima ADUN PKR sebelum ini mengambil pendekatan berkecuali sewaktu
undian dijalankan terhadap usul Muhamad Farid Saad yang mencadangkan
semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada
perdebatan umum.
Lima ADUN berkenaan ialah Ong Chin Wen (Bukit Tengah); Dr Norlela
Ariffin (Penanti); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); Cheah Kah Peng (Kebun
Bunga) dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban).
Mereka disifatkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai menikam parti itu
dari belakang dan membayangkan terdapat cubaan rampasan kuasa dalam PKR
Pulau Pinang.
Bagaimanapun PKR mempertahankan kesemua ADUNnya itu dan tindakan tidak
mengundi usul projek tebus tanah itu adalah demi kepentingan rakyat.
Dalam pada itu, Azmin juga menggesa supaya media tidak melaga-lagakan beliau dengan Presiden PKR
Jelasnya, beliau sebagai Timbalan Presiden bersama dengan anggota parti
akan sentiasa mendokong Presiden, Datuk Seri Dr. Wan Azizah.
"Seluruh anggota parti bersama-sama mendukung presiden parti untuk menentukan hala tuju parti.
"Tetapi kita melihat laporan media menyatakan bahawa Azmin nak ke sana,
Presiden hendak ke sini jangan laga-lagakan saya dengan Presiden
"Sebagai Timbalan Presiden PKR saya akan patuh dan setia kepada Presiden, Ketua Umum dan keputusan juga parti,"tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan