GEORGETOWN - Lebih 40 orang berkumpul di hadapan Komtar menyatakan bantahan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, tengah hari ini.
Mereka berkumpul kira-kira setengah jam itu sambil memegang sepanduk menyatakan sokongan terhadap Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk menggantikannya sebagai ketua menteri.
Mereka turut meminta Guan Eng meletak jawatan dan menyerahkan jawatan itu kepada Kon Yeow.
Difahamkan, mereka turut membawa sepanduk meminta Guan Eng pulang ke Melaka dan membiarkan jawatannya di pegang oleh wakil rakyat yang berasal dari negeri ini.
Jurucakap kumpulan itu yang enggan dikenali berkata, mereka mahu Kon Yeow yang berasal dari Selangor dan sudah menjadi penduduk Pulau Pinang sejak 1986 mengambil alih jawatan berkenaan.
Beliau berkata, negeri ini semakin menjadi bandar raya yang mengandungi bangunan dan kediaman mewah untuk orang berpendapatan tinggi terutama warga asing.
Untuk orang yang berpendapatan rendah sememangnya tidak mempunyai peluang tinggal di sini. Ini kerana, tiada perumahan mampu milik dibina.
"Ramai rakyat keluar dari Pulau Pinang. Kita bimbang penjualan tanah yang tidak terkawal, masalah kesesakan, banjir, penarahan bukit tanpa kelulusan serta kemusnahan alam sekitar.
Sepanjang Guan Eng menjadi ketua menteri, tiada apa yang dilakukan di sini. Dia tidak memahami apa yang rakyat Pulau Pinang mahu kerana bukan berasal dari sini," katanya.
Tinjauan mendapati, mereka berkumpul sambil memegang sepanduk tertulis antaranya "Chow Kon Yeow, kami mahu anda", "Chow Kon Yeow ketua menteri, kami mahukan anda", "Lim Guan Eng balik Melaka".
Guan Eng yang berasal dari Melaka mula memegang jawatannya itu pada 2008 selepas PR memenangi PRU12 dengan mengalahkan BN.
PR berjaya mengekalkan kuasa pada PRU13 dan membolehkan Guan Eng kekal sebagai ketua ,enteri.
Bagaimanapun, perbalahan yang berlaku tahun ini menyebabkan Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Tindakan DAP itu menyebabkan Pas negeri mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Kerajaan Pulau Pinang.
Sehubungan itu, pakatan baru ditubuhkan dengan nama Pakatan Harapan yang dianggotai Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan