Ahad, 29 November 2015

Umno jangan hiris hati orang Melayu



Oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin


Sebagai bekas ketua Wanita Umno Bahagian, ketua Penerangan Wanita Umno Malaysia dan exco Perak, beliau tentunya banyak berjasa kepada parti dan kerajaan.

Yang menimbulkan persoalan ialah asas dan proses pemecatan beliau daripada parti. Berdasarkan kenyataan Hamidah, pertuduhan ke atas beliau adalah kerana menghadiri satu majlis bersama Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau adalah bekas presiden Umno dan masih merupakan ahli parti.

Saya ingin bertanya, adakah menghadiri satu majlis bersama bekas presiden yang turut dihadiri ramai pemimpin dan ahli Umno yang lain, merupakan satu kesalahan disiplin?

Jika ia satu kesalahan disiplin, maka saya rasa ramailah ahli Umno yang terpaksa dilucutkan keahlian mereka dan tinggallah ia sebagai parti yang semakin kehilangan ahli dan penyokong.

Hamidah juga menyatakan beliau tidak pernah dipanggil Lembaga Disiplin Umno.

Justeru, adakah cara pemecatan Hamidah mematuhi kehendak perlembagaan Umno dan prinsip 'due process of law'?

Saya tidak fikir pemecatan seseorang ahli boleh dibuat dengan hanya menghantar surat tunjuk sebab tanpa memanggil ahli berkenaan membela diri.

Ada pihak yang berhujah Majlis Tertinggi (MT) boleh memecat seorang ahli tanpa perlu dihadapkan kepada Lembaga Disiplin seperti berlaku dalam kes pemecatan keahlian Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Mereka ini tidak tahu sejarah. Lembaga Disiplin hanya diwujudkan selepas Pindaan Perlembagaan Umno pada 2000, iaitu 2 tahun selepas Anwar dipecat daripada parti.

Selaku pengerusi JK Pindaan Perlembagaan Umno pada waktu itu, saya mengusulkan supaya satu Lembaga Disiplin yang bebas dan terdiri daripada ahli-ahli tidak berkepentingan dalam parti diwujudkan.

Tujuannya ialah supaya sebarang keputusan yang diambil Lembaga Disiplin tidak berat sebelah, `without fear or favour', adil, telus dan pihak yang diadili akan dapat menerima keputusan yang dijatuhkan ke atasnya.

Jika benar dakwaan Hamidah  beliau tidak pernah dipanggil Lembaga Disiplin untuk membela diri, maka tindakan memecat beliau daripada parti adalah jelas bercanggah dengan semangat perlembagaan Umno.

Selain itu, pemecatan keahlian di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan Umno juga seharusnya menjadi pilihan terakhir terhadap seseorang ahli jika beliau melakukan satu kesalahan besar yang melanggar perlembagaan dan Tataetika Ahli Umno.

Saya sedar sebagai ahli MT, saya terikat dengan sesuatu keputusan yang dibuat MT. Cuma adalah menjadi kewajipan saya untuk menyatakan pandangan mengenai sesuatu perkara yang dilihat bercanggah dengan kehendak perlembagaan parti.

Saya bimbang beberapa perkara pelik yang berlaku di dalam Umno sejak kebelakangan ini membayangkan semakin terhakisnya sikap bertanggungjawab, adil dan beramanah dalam kalangan sesetengah pemimpin parti.

Kepada segelintir mereka ini, saya ingin berpesan. Ingatlah, Umno bukan parti milik mana-mana individu.
Ia parti milik seluruh umat Melayu! Jangan dihiris hati orang Melayu dengan tindakan tidak amanah dan tidak bertanggungjawab anda semua!

* Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah timbalan presiden Umno.

Tiada ulasan: